Aktiviti pasaran rumah meningkat walau banyak rumah tak terjual, kata BNM


AKTIVITI pasaran perumahan bagi tempoh memasuki 2022  memaparkan peningkatan walaupun bilangan rumah tidak terjual kekal tinggi mencecah 180,702 unit pada suku ketiga 2021 dan 181,463 unit pada suku kedua 2021.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua yang dikeluarkan hari ini, berkata gangguan akibat pandemik Covid-19 turut memperlahankan jualan bagi bekalan atau penawaran rumah tidak terjual walaupun terdapat insentif pembelian rumah secara berterusan.

Menurutnya, bilangan rumah tidak terjual yang tinggi juga terus mencerminkan isu rumah mampu milik sedia ada dan keadaan itu semakin buruk sejak bermulanya pandemik berikutan penyusutan pendapatan.

“Sehubungan itu, pelarasan dari segi bekalan telah diteruskan dengan lebih banyak perumahan baharu dilancarkan dengan beralih ke arah segmen pasaran harga lebih rendah dan sederhana.

“Bahagian pelancaran hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah meningkat dengan ketara pada suku ketiga 2021 (suku ketiga 2021: 88.1 peratus; separuh pertama 2021: 67.7 peratus; purata 2015-2019: 65.9 peratus).

“Hal ini akan membantu mengurangkan lagi peningkatan stok perumahan yang tidak terjual,” kata BNM.

Menurut bank pusat itu, sebahagian besar pelancaran baharu kekal melangkaui segmen harga mampu milik dengan hanya 35.6 peratus daripadanya berharga di bawah RM300,000 sejak 2015.

Keadaan itu menunjukkan wujudnya ruang untuk pelarasan harga dan bekalan perumahan selanjutnya bagi meningkatkan kemampuan membeli secara keseluruhan.

Bagaimanapun, BNM berkata pembaharuan yang lebih meluas bagi meningkatkan kemampuan perumahan kekal kritikal untuk membendung beban hutang isi rumah dan mengurangkan risiko kesukaran kewangan masa hadapan.

Sementara itu, aktiviti pasaran dijangka meningkat pada suku keempat 2021, didorong oleh kegiatan pembukaan semula ekonomi manakala permohonan pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan dengan merentasi semua segmen harga pada separuh kedua 2021.

Menurut BNM, peningkatan ketara permohonan pinjaman dalam dua bulan terakhir 2021 juga bertepatan dengan Kempen Pemilikan Rumah yang berakhir pada 31 Disember, 2021.

“Peningkatan prospek pekerjaan dan persekitaran kadar faedah yang rendah akan terus menyokong permintaan perumahan.

“Permintaan perumahan pula sebahagian besarnya didorong oleh pemilik rumah dengan 57.3 peratus (suku tahun pertama 2021: 55.8 peratus) daripada pinjaman perumahan diluluskan pada separuh kedua 2021 telah diberi kepada golongan ini,” katanya.

Bagi sektor harta tanah komersial (CRE), BNM berkata peralihan ke arah pengaturan kerja fleksibel dan kadar pendigitalan lebih pantas susulan pandemik itu akan terus mengubah cara ruang fizikal itu dimanfaatkan.

Menurutnya, kesemua trend ini menyebabkan kebimbangan berkaitan lebihan bekalan sedia ada dalam segmen CRE terpilih seperti ruang pejabat dan ruang runcit.

Sebahagian besar hubungan langsung antara sektor CRE dengan sistem kewangan juga dapat dibendung, sekali gus mengurangkan risiko kestabilan kewangan secara ketara.

“Bagaimanapun, perkembangan selanjutnya dalam penyelesaian isu lebihan bekalan rumah kekal penting berikutan kesan pengganda yang tinggi kepada ekonomi secara lebih luas. Bekalan ruang pejabat dan ruang runcit baharu yang dirancang dalam jumlah yang besar juga boleh menimbulkan risiko,” katanya.

Dalam pada itu, amanah pelaburan hartanah Malaysia (REIT) yang kebanyakannya dibiayai oleh pelabur institusi besar seperti kumpulan wang pencen, kekal sebagai pasaran baharu dan kecil yang mencakupi kurang tiga peratus daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia. – Bernama, 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen