Pengusaha gesa kerajaan bantu tangani kenaikan kos bahan binaan


Jika harga bahan binaan tidak dikawal ia akan menyebabkan kos perniagaan meningkat dan seterusnya membawa kepada kenaikan harga hartanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2021.

KERAJAAN perlu campur tangan bagi menangani kenaikan kos bahan binaan yang menyebabkan kos perniagaan bertambah dan seterusnya mengakibatkan harga hartanah naik lebih tinggi, kata kumpulan pemaju dan kontraktor hari ini.

“Kenaikan (kos bahan binaan) secara langsung memberi kesan kepada kos menjalankan perniagaan yang menyebabkan kenaikan antara 13% hingga 20% kos pembinaan.

“Sesetengah barang yang menunjukkan peningkatan drastik termasuk harga keluli lembut sehingga 41%, dan pasir sehingga 20%, sejak Oktober 2020. Keadaan ini menyebabkan margin keuntungan syarikat yang sudah mengalami berkurangan, di bawah tekanan,” kata kenyataan bersama tujuh kumpulan industri, hari ini.

“Jika dibiarkan, perkara itu akan berlarutan dan ia boleh membawa kepada projek yang merugikan dan masalah aliran tunai.

“Pemaju mungkin tidak mempunyai pilihan selain memasukkan kos tambahan kepada harga rumah yang lebih tinggi dan akhirnya akan membebankan rakyat, manakala kontraktor yang tidak dapat menyerap kos tambahan mungkin terpaksa menghentikan kerja mereka,” tambah mereka.

Kumpulan itu ialah Persatuan Pembina Utama Malaysia (MBAM), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Wibawa (GBC Wibawa), Persatuan Kontraktor Malaysia Bersatu (UMCA) dan Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM).

Mereka berkata faktor utama yang mempengaruhi kenaikan harga bahan binaan termasuk kos bahan mentah, kekurangan pekerja asing, dan kenaikan harga secara keseluruhan dalam logistik, minyak mentah dan kos tenaga.

Bagi melegakan keadaan, kumpulan itu menggesa kerajaan menerima cadangan mereka, termasuk penguatkuasaan terhadap amalan pencatutan dan anti persaingan kepada rantaian bekalan.

Kerajaan juga harus menyegerakan kemasukan pekerja asing, dan melanjutkan klausa Variasi Harga (VOP) pada kontrak untuk projek kerajaan.

Pemilik projek swasta juga harus digalakkan memperkenalkan klausa VOP dalam kontrak mereka.

Pelanjutan klausa VOP adalah penting pada masa ini kerana turun naik harga dijangka kekal selepas akhir tahun ini, kata kumpulan itu.

“Kami amat bimbang sekiranya isu-isu ini tidak diberi perhatian segera, industri akan terus terjejas dan seterusnya memberi kesan buruk kepada sektor kita dan pertumbuhan ekonomi negara.” – 13 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen