OPR dijangka naik lagi, kata pakar ekonomi


Khoo Gek San

Pakar ekonomi berkata kejatuhan nilai ringgit, harga komoditi global dan ketidaktentuan lain berkemungkinan mendorong OPR meningkat lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2022.

RAKYAT Malaysia boleh menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat lagi pada suku kedua tahun ini jika inflasi domestik tidak dikawal, kata pakar ekonomi.

Mereka berkata kejatuhan nilai ringgit, harga komoditi global dan ketidaktentuan lain berkemungkinan mendorong OPR meningkat lagi.

Namun, ini mungkin memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia.

Ketua Strategi Phillip Mutual Bhd Phua Lee Kerk berkata peningkatan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2% oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu adalah langkah positif sebagai persediaan untuk pemulihan ekonomi pada separuh kedua tahun ini.

Walaupun pengumuman oleh BNM sudah lama tertangguh, ramai percaya bank pusat itu akan meningkatkan OPR pada Jun.

“Walau apa pun, kami melihat kenaikan itu sebagai petanda positif untuk membantu ekonomi pulih pada separuh kedua tahun ini,” kata Phua kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, satu lagi kenaikan OPR tidak boleh diketepikan pada suku kedua untuk membantu pemulihan ekonomi.

Phua berkata sebab utama kenaikan OPR adalah kerana kenaikan faedah Rizab Persekutuan AS untuk mengekang tekanan inflasi.

Kenaikan faedah AS juga disebabkan oleh harga komoditi yang melambung tinggi, perang Rusia-Ukraine serta pasaran yang lemah.

Penanda aras kadar faedah Fed naik sebanyak 0.5 mata peratusan kepada julat kadar sasaran antara 0.75% dan 1%. Kenaikan itu adalah yang terbesar sejak 2000 dan disusuli peningkatan 0.25 mata peratusan pada Mac, kenaikan pertama sejak Disember 2018.

Susulan kenaikan kadar faedah Fed, Phua berkata jika Malaysia tidak mengikutnya, dana akan mengalir ke negara lain dengan kadar faedah lebih tinggi manakala negara yang bergantung kepada import akan terjejas teruk.

“Apabila mata wang susut, harga barang import akan melambung tinggi dan tekanan inflasi akan meningkat. Jika pendapatan rakyat tidak meningkat, kapasiti ekonomi akan berkurangan, bermakna ekonomi negara akan perlahan atau mengecut.”

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar minyak dan antara pengeksport terbesar minyak sawit, beliau berkata ini akan memberi kesan positif berikutan harga komoditi yang tinggi, yang terus meningkat berikutan kos baja yang tinggi dalam kes minyak sawit.

Bagaimanapun, memandangkan Malaysia turut mengimport sebahagian daripada minyaknya, masih terdapat beberapa tekanan inflasi, kata Phua.

“Kerajaan memberi subsidi harga bahan api tetapi memandangkan harga bahan mentah yang tinggi, semua orang merasai tekanan.

“Jika gaji rakyat tidak dinaikkan apabila harga makanan naik, ia akan menjejaskan penggunaan dan ekonomi. Kita juga akan melihat komoditi lain, seperti harga hartanah meningkat lagi.”

Perang berterusan antara Rusia dan Ukraine juga menimbulkan banyak ketidaktentuan kepada pasaran, kata Phua.

“Kami pada mulanya meramalkan sebaik sahaja Covid-19 dikawal, sempadan akan dibuka semula dan permintaan domestik akan kukuh.

“Ini kita lihat perkara ini semasa tempoh Hari Raya dan ia mungkin berlanjutan sehingga akhir tahun. Tetapi disebabkan perang, sukar untuk meramalkan prestasi ekonomi pada separuh kedua tahun ini.”

Phua mencadangkan Putrajaya mempertimbangkan pengecualian cukai negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 bagi mengelak kegawatan ekonomi.

“Jika kita mahu mengelak kegawatan ekonomi, syarikat yang menaikkan gaji pekerja mereka sebanyak 10% hingga 20% harus mendapat potongan cukai tambahan.

“Ini akan membantu orang ramai meningkatkan pendapatan mereka sambil memberi ganjaran kepada perniagaan dengan pengecualian cukai yang akan menyokong pemulihan ekonomi.”

Kenaikan OPR kedua

Wong Chin Yoong, seorang profesor ekonomi di Universiti Abdul Rahman (UTAR) berkata Malaysia boleh menjangkakan BNM akan menaikkan semula OPR pada suku kedua.

Beliau berkata ringgit yang merosot bukan disebabkan oleh inflasi domestik, sebaliknya perang dan juga kawalan pergerakan Covid-19 di China melonjakkan harga komoditi.

Itulah sebabnya Wong menentang menaikkan OPR sekarang. Sebaliknya, beliau percaya ia sepatutnya hanya dinaikkan apabila penurunan nilai ringgit menyebabkan masalah domestik yang teruk.

Wong berkata kadar inflasi 2.2% pada Mac menunjukkan ia sedang menurun.

Keadaan semasa Malaysia berpunca daripada pelarasan kadar faedah untuk menyokong ringgit yang dilaksanakan pada 1990-an.

Wong mencadangkan adalah lebih berkesan untuk negara mengikuti contoh 2017, apabila kitaran kenaikan kadar faedah di AS mula menyebabkan nilai ringgit menyusut, dengan meminta pengeksport menghantar pulang 70% daripada mata wang asing mereka. – 13 Mei, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen