Kos hartanah dijangka naik 10% tahun depan, kata pemaju


Khoo Gek San

Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Benjamin Ong berkata peningkatan harga bahan binaan menjadi antara faktor menyumbang kepada peningkatan harga hartanah tahun depan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2021.

HARGA hartanah di seluruh negara dijangka naik 5% hingga 10% tahun depan kerana kos bahan binaan kekal tinggi, kata pemaju.

Sesetengah syarikat pembinaan juga menghadapi isu undang-undang berhubung kelewatan menyiapkan projek disebabkan kos yang lebih tinggi, tambah mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Benjamin Ong berkata pemaju dan kontraktor akhirnya tiada pilihan selain menyalurkan kos kepada pembeli.

Masalah ini bagaimanapun bukan hanya berlaku di Malaysia. Hartanah di seluruh dunia dijangka naik lebih tinggi, katanya.

“Saya menganggarkan untuk projek baharu yang akan bermula tahun depan, harga akan meningkat sebanyak 5% hingga 10%,” kata Ong kepada The Malaysian Insight.

Harga wayar keluli, aluminium dan tembaga meningkat secara drastik, meletakkan kontraktor di bawah tekanan, katanya.

Ong berkata Mah Sing menggunakan pemaju pihak ketiga untuk projek mereka, jadi kos bahan binaan ditanggung oleh mereka.

Ahli majlis kebangsaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Tony Khoo Boon berkata kontraktor perlu membayar 10% hingga 15% lebih untuk bahan pembinaan.

Beliau juga menjangkakan harga hartanah untuk projek yang baru dilancarkan akan berdepan kos tambahan 10% tahun depan.

Khoo, yang juga pengarah pemaju hartanah Tumbuh Merata Sdn Bhd berkata harga keluli telah naik lebih daripada 70% hingga 80%, simen sebanyak 30%, PVC sebanyak 50% dan aluminium sebanyak 30% hingga 40%.

“Tiada siapa boleh tahu bila harga akan stabil. Barangan seperti simen tidak boleh disimpan kerana ia akan mengeras. Kontraktor perlu memesan stok baharu setiap tiga bulan, tetapi harga terus berubah dan pemaju juga tidak tahu bagaimana untuk menetapkan harga hartanah.”

Walaupun harga bahan mentah lebih mahal sekarang, Ong berkata projek baharu tidak boleh dijual pada harga yang terlalu tinggi.

Sebelum pandemik, rumah di lokasi lebih murah di Lembah Klang pernah menelan kos antara RM500,000 dan RM600,000. Kini, ia meningkat sehingga lebih RM1 juta.

“Sama seperti pakaian, makanan dan pengangkutan, hartanah adalah penting, jadi orang ramai akan tetap membeli. Trend sekarang ialah orang ramai membeli untuk didiami, bukannya membeli untuk pelaburan.”

Ong berkata kenaikan kos bahan mentah, kekurangan tenaga kerja dan inflasi menandakan ketidaktentuan di masa akan datang untuk pasaran hartanah.

Sementara itu, Khoo berkata kontraktor dan pemaju mendapati sukar untuk menetapkan harga projek.

Beliau berharap kerajaan dapat menggubal klausa Variasi Harga (VOP) bagi membolehkan kontraktor dan pemaju merundingkan semula harga, atau kontraktor tidak mampu menanggung kos yang semakin meningkat.

Sekiranya projek tidak dapat disiapkan tepat pada masanya, pemaju juga mungkin menghadapi litigasi dan mungkin diminta membayar pampasan kepada pembeli, tambah Khoo.

“Tapak pembinaan tidak dapat beroperasi semasa sekatan pergerakan. Kami telah kehilangan enam hingga tujuh bulan masa pembinaan. Terdapat juga kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembinaan. Semua faktor ini meletakkan kita di tempat yang sukar.

“Kita juga tidak dapat melihat penamat harga yang semakin meningkat. Kami berharap kerajaan dapat campur tangan dan mengawal keadaan.”

Bekas presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Foo Check Lee berkata kenaikan harga bahan binaan telah mendorong kos bangunan meningkat, mencetuskan rundingan antara kontraktor dan pemaju.

“Kontraktor boleh memperlahankan projek dan menunggu harga turun. Tetapi ini akan menangguhkan penyiapan projek dan pembeli akan mendapat hartanah mereka lewat daripada jangkaan.”

Harga yang lebih tinggi dirasai di seluruh dunia kerana sektor perkapalan dan pengeluaran global telah terjejas oleh pandemik.

Foo berkata harga keluli ketika ini ialah RM2,800 satu tan, turun sedikit daripada RM3,100 satu tan, tetapi harga barangan lain seperti aluminium, PVC, pasir, batu bata dan wayar tembaga telah meningkat.

Masalah lain yang dihadapi oleh kontraktor Malaysia ialah kekurangan tenaga kerja yang mengakibatkan kelewatan dan perebutan antara pelbagai tapak pembinaan terhadap bilangan pekerja yang terhad.

Baru-baru ini, MBAM, Rehda, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Wibawa (GBC Wibawa), Persatuan Kontraktor Malaysia Bersatu (UMCA) dan Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM) menggesa kerajaan untuk campur tangan bagi menangani kenaikan kos bahan binaan.

Mereka berkata faktor utama yang mempengaruhi kenaikan harga bahan binaan termasuk kos bahan mentah, kekurangan pekerja asing, dan kenaikan harga secara keseluruhan dalam logistik, minyak mentah dan kos tenaga.

Bagi meredakan keadaan, kumpulan itu menggesa kerajaan menerima cadangan mereka, termasuk penguatkuasaan terhadap amalan pencatutan dan anti persaingan kepada rantaian bekalan.

Kerajaan juga harus menyegerakan kemasukan pekerja asing, dan melanjutkan VOP pada kontrak untuk projek kerajaan. – 17 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen