Nilai rumah tak terjual cecah RM19.7 bilion suku ketiga 2021, kata Putrajaya


Chan Kok Leong

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Muttalib berkata Pulau Pinang negeri paling tinggi rumah tidak terjual iaitu sebanyak 4,638 diikuti Kuala Lumpur (3,893), Selangor (3,390) dan Perak (2,895). – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

TERDAPAT sejumlah 30,290 rumah siap belum terjual bernilai RM19.7 bilion pada suku ketiga tahun ini, kata Ismail Muttalib.

“Ini meningkat berbanding suku kedua, di mana terdapat 31,112 unit tidak terjual bernilai RM21 bilion,” kata timbalan menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu di Dewan Rakyat hari ini

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), antara suku kedua dan ketiga 2021 terdapat penurunan sebanyak 2.6 peratus dan 1.7 peratus dalam bilangan unit tidak terjual dan nilai hartanah, kata Ismail.

“Ini disebabkan pemaju beri diskaun untuk habiskan stok mereka,” kata ahli Parlimen Maran itu.

Ismail berkata, Pulau Pinang mempunyai bilangan unit tidak terjual paling tinggi iaitu 4,638 diikuti Kuala Lumpur (3,893), Selangor (3,390) dan Perak (2,895).

Sebaliknya, Kelantan mempunyai bilangan rumah tidak terjual paling rendah iaitu 114 buah.

Ismail bagaimanapun tidak memberikan sebarang data mengenai nilai atau bilangan unit yang tidak terjual di negeri lain.

Bagi jenis rumah tidak terjual pula, Ismail berkata yang tertinggi ialah kondominium atau pangsapuri sebanyak 18,229 diikuti rumah teres (5,687) dan rumah berkembar (1,783).

Ismail berkata demikian menjawab soalan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanya mengenai hartanah yang tidak terjual di Malaysia. – 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen