Golongan berpendapatan rendah di Lembah Klang terjejas teruk akibat inflasi makanan


Elill Easwaran

Ramai mengeluh, RM50 pada masa ini tidak dapat memberikan mereka bahan asas makanan yang berbaloi susulan kenaikan harga ayam, daging dan ikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 April, 2022.

GOLONGAN berpendapatan rendah di Lembah Klang bergelut untuk memastikan ada makanan di rumah ketika harga barangan basah melonjak, sementara gaji kekal di takuk lama.

Kumpulan ini, kebanyakannya menetap di rumah pangsa kos rendah, memberitahu The Malaysian Insight gaji semasa mereka tidak setaraf dengan harga bahan mentah.

Hakim Abdul, 27, yang tinggal di Pangsapuri PPR Hicom berkata RM50 pada masa ini hanya dapat membeli seekor ikan dan sekampit beras 10kg di pasar.

“Beras itu dapat bertahan dalam lapan hingga sembilan hari tetapi ikan hanya untuk sehari,” katanya yang mempunyai tiga ahli keluarga.

Pendapatannya RM58 sehari dan kos barangan runcit untuk keluarganya mencecah RM200 seminggu.

“Saya kerja enam hari seminggu dan lebih separuh gaji digunakan untuk membeli makanan,” katanya yang berniaga kelapa di tepi jalan.

Suri rumah, Suhaila Osman, 45, berkata 40% daripada gaji suaminya digunakan untuk membeli barangan runcit.

“Kami ada tujuh ahli keluarga, dan pergi ke pasar setiap hari membabitkan kos kira-kira RM300 seminggu.

“Kami cuba belanja hanya RM50 sehari tetapi di kebanyakan masa ia terlebih kerana harga ayam seekor sekarang pun sudah RM20,” katanya yang tinggal di PPR Lembah Subang 2.

A. Murugan, 56, penduduk di PPR Pantai berkata sukar untuknya menampung perbelanjaan menyediakan makanan untuk anaknya kerana kos sara hidup sangat tinggi sekarang.

“Saya mahu anak saya dapat makanan seimbang kerana mereka masih kecil tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana gaji saya rendah.

“Kira-kira 45% gaji saya digunakan untuk beli barangan runcit. Bakinya untuk membayar bil,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Katanya, beberapa tahun lalu dengan gajinya beliau masih mampu membeli daging, ayam atau ikan untuk anaknya tetapi keadaan sekarang semakin sukar.

Penjaja tepi jalan, Azizah Mat Noh, 54, berkata kos harian mengendalikan gerainya kini meningkat dua kali ganda.

“Hanya dua tahun lalu, saya belanja RM200 sehari dan sekarang hampir RM380.

“Terus terang cakap, belanja RM50 di pasar, ia hanya cukup untuk masak sekali saja.

“Kos sara hidup naik melampau sanga terutama selepas perintah berkurung dan sekarang kami sedang bergelut,” katanya yang menetap di PPR Hicom.

Minggu lalu, Jabatan Perangkaan berkata indeks harga pengguna (IHP) untuk Mac 2022 naik 2.2% kepada 125.6 berbanding 122.9 pada Mac 2021.

Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan inflasi keseluruhan didorong terutamanya dengan kenaikan 4% tahun ke tahun dalam kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

“Kenaikan inflasi makanan yang merupakan komponen terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.

“Peningkatan 4% bagi kumpulan makanan dan minuman bukan beralkohol sebahagian besarnya berpunca daripada kenaikan ketara komponen makanan di rumah yang meningkat 4.3% berbanding 4.1% yang dicatatkan pada Februari 2022,” katanya.

Uzir berkata subkumpulan daging terus menjadi penyumbang utama dalam kenaikan kumpulan ini dengan peningkatan sebanyak 7.6% pada Mac 2022. – 29 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen