Penderaan kanak-kanak di Malaysia masih berleluasa, kata aktivis


Aminah Farid

Aktivis kanak-kanak Dr Hartini Zainudin berkata penderaan kanak-kanak jauh lebih membimbangkan daripada yang orang ramai fikirkan kerana banyak kes tidak dilaporkan. – Gambar The Malaysian Insight, 26 April, 2022. 

TIADA kesungguhan dalam menangani kes penderaan kanak-kanak, ditambah pula dengan kanak-kanak yang kurang pendedahan tentang penderaan serta keraguan untuk mempercayai mangsa adalah antara sebab utama penderaan terhadap kanak-kanak masih berleluasa di Malaysia, kata aktivis.

Seorang aktivis kanak-kanak terkemuka dan pengasas bersama Yayasan Chow Kit Dr Hartini Zainudin memberitahu The Malaysian Insight bahawa penderaan kanak-kanak jauh lebih membimbangkan daripada yang orang ramai fikirkan kerana banyak kes tidak dilaporkan.

Tiada mekanisme pelaporan yang jelas dan mudah untuk kanak-kanak manakala rujukan selepas laporan awal juga mengambil masa yang lama untuk dibuat susulan kerana pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) biasanya terbeban dengan banyak kes dan tidak ramai alternatif pelindung kanak-kanak dipanggil untuk membantu.

“Banyak kes disifatkan sebagai isu dalaman keluarga dan kanak-kanak dihantar pulang jika pendera adalah ahli keluarga.

“Rumah persendirian yang tidak berdaftar tidak akan membuat laporan dan institusi serta sekolah tidak mempunyai polisi perlindungan kanak-kanak yang dilaksanakan dan difahami oleh kanak-kanak.

“Kanak-kanak tidak tahu apa itu penderaan, apakah hak mereka atau kepada siapa mereka harus meminta bantuan,” kata Hartini.

Menurut Persatuan Kebajikan Suriana satu daripada 10 kanak-kanak didera semasa wabak.

Di Selangor dari Januari hingga September tahun lepas terdapat hampir 1,100 kes penderaan kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata berdasarkan statistik polis Selangor jumlah ini termasuk kes penderaan fizikal (527 kes), penderaan emosi (35) dan penderaan atau gangguan seksual (514), tanpa menyatakan kes yang melibatkan pedofil.

Hartini berkata tidak sepatutnya ada hukuman dera malah “memukul dengan lembut” adalah satu “oxymoron”. Dia bagaimanapun berhujah bahawa penderaan boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti lisan, emosi, kecuaian dan pengabaian. 

Beliau berkata isu itu juga berleluasa kerana tiada akauntabiliti ke atas orang dewasa dan jika kanak-kanak melaporkan penderaan ia terletak pada kanak-kanak itu untuk membuktikan penderaan itu berlaku.

“Sistem pelaporan perlindungan kanak-kanak kita membosankan, tidak disenangi dan tidak mudah. Ia memakan masa.

“Mereka yang melaporkan keberatan untuk tampil ke depan. Tiada kerahsiaan ketika membuat laporan.

“Pendera sering diberitahu siapa yang melaporkan kes itu dan kanak-kanak itu diminta untuk memaafkan, melupakan, menarik semula laporan jika ia dianggap sebagai penderaan ringan atau tidak dapat membuktikan siapa pendera terutamanya jika ia ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata kerajaan harus meluluskan Akta Pekerja Sosial dan mengaktifkan lebih banyak alternatif pelindung kanak-kanak.

“Kerajaan harus mendesak dan mewajibkan setiap rumah atau pusat yang terlibat dengan kanak-kanak mempunyai dasar perlindungan kanak-kanak.

“Kita juga harus mempunyai lebih banyak pihak berkuasa mesra kanak-kanak di jabatan polis dan semua hospital harus mempunyai Pasukan Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak Yang Disyaki (Scan) untuk mengesan penderaan jika kanak-kanak datang ke hospital dengan tanda penderaan serta memastikan rumah tidak berdaftar mematuhinya, kata Hartini sambil menambah pusat agama, kebudayaan dan sekolah harus mempunyai latihan wajib dan dipertanggungjawabkan. – 26 April, 2022. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen