Benarkan pelarian bekerja, kata naib presiden Umno


Naib Presiden Umno Khaled Nordin cadangkan Putrajaya benarkan pelarian di negara ini bekerja, berbanding mengimport jutaan buruh asing yang tidak mahir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2022.

PUTRAJAYA perlu benarkan pelarian di negara ini bekerja selepas didaftarkan segera dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin.

“Tanpa perlu mengimport jutaan pekerja tidak berkemahiran melalui pelbagai MoU (perjanjian persefahaman) yang merumitkan, kumpulan pelarian ini boleh kita benarkan untuk bekerja.

“Ini akan membantu mereka membangun kemahiran, membiayai kehidupan sendiri dan mengurangkan beban kerajaan,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Bekas menteri besar Johor itu menyifatkan insiden melarikan diri,  protes dan rusuhan di depoh tahanan imigresen bukanlah sesuatu yang baharu. 

“Ia terus berulang dan mungkin berpunca daripada masalah kesesakan di dalam blok tahanan, tempoh tahanan yang lama dan terhadnya  kemampuan sumber kerajaan dalam pengurusan pusat sedemikian,” katanya.

Khaled berkata penahanan yang berterusan dan berpanjangan itu merupakan satu pencabulan hak asasi manusia dan merupakan membazirkan wang rakyat.

Justeru katanya kerjasama erat dengan UNHCR perlu dimantapkan agar pelarian dapat segera dipindahkan dan memulakan kehidupan baharu di negara penerima.

Tambah Khaled Malaysia perlu menunjukkan komitmennya mengurus dasar berkaitan pelarian dengan lebih telus dan bertanggungjawab.

Pada awal pagi semalam, seramai 528 etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu, Kedah selepas merusuh sebelum itu.

Enam daripada mereka termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya semasa cuba melintas jalan di Lebuh Raya Utara Selatan.

Pusat itu adalah bekas kem latihan khidmat negara dan telah digunakan semula sebagai depoh tahanan pelarian yang dijangkiti Covid-19.

Polis berjaya menahan kebanyakan mangsa yang melarikan diri tetapi pencarian bersama Jabatan Imigresen dan Rela masih diteruskan. – 21 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen