Pemimpin Rohingya terkemuka di Bangladesh maut ditembak


Mohib Ullah ditembak beberapa penyerang ketika sedang berbual dengan pemimpin pelarian lain di luar pejabatnya selepas solat Maghrib. – Gambar AFP, 30 September, 2021.

BEBERAPA penyerang tidak dikenali pada Rabu menembak mati seorang pemimpin masyarakat Rohingya terkemuka di sebuah kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh, kata para pegawai.

Mohib Ullah sedang berbual dengan pemimpin pelarian lain di luar pejabatnya selepas solat Maghrib kira-kira pukul 8 malam (1400 GMT) apabila sekurang-kurangnya empat penyerang muncul dan menembaknya mati, kata Rafiqul Islam, jurucakap polis Cox’s Bazar, kepada AFP.

“Empat hingga lima penyerang tidak dikenali menembaknya dari jarak dekat. Beliau diisytiharkan meninggal dunia di hospital MSF di dalam kem,” katanya.

Beliau berkata polis dan Batalion Polis Bersenjata, yang bertugas memastikan keselamatan 34 kem Rohingya di negara itu, meningkatkan keselamatan dengan mengerahkan ratusan lagi pegawai bersenjata.

Belum ada yang ditangkap, menurut Islam.

“Kami melakukan serbuan di kawasan itu,” katanya, sambil menambah yang Ullah tidak memberi memaklumkan kepada polis mengenai ancaman daripada mana-mana kumpulan.

Mohammad Nowkhim, jurucakap Persatuan Keamanan dan Hak Asasi Manusia Arakan Rohingya (ARPSH), berkata Ullah sedang bercakap dengan pemimpin Rohingya lain di luar pejabat ARPSH di Kutupalong, penempatan pelarian terbesar di dunia, ketika penyerang tidak dikenali menembaknya sekurang-kurangnya tiga kali.

“Beliau berlumuran darah dan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital MSF berdekatan,” kata Nowkhim dari tempat persembunyian, sambil menambah banyak pemimpin Rohingya bersembunyi selepas pembunuhan Ullah.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab, tetapi seorang pemimpin Rohingya memberitahu AFP yang Ullah dibunuh oleh kumpulan pelampau Arakan Rohingya Salvation Army, yang menjadi dalang beberapa serangan pos keselamatan Myanmar dalam beberapa tahun terakhir

“Ini adalah kerja ARSA,” katanya.

Ullah, 48, muncul sebagai pemimpin sivil utama masyarakat minoriti Islam yang dianiaya ketika lebih 740,000 orang Rohingya berlindung di kem di Bangladesh, selepas tindakan keras tentera Myanmar di kampung mereka di wilayah Rakhine pada Ogos 2017.

Ullah membentuk ARPSH di kem Bangladesh beberapa bulan selepas kemasukannya, dan ia membantu menyiasat pembunuhan dilakukan tentera Myanmar dan miliia Buddha semasa tindakan keras mereka.

Pada Ogos 2019, beliau menganjurkan perhimpunan besar-besaran di kem Kutupalong, perkampungan utama Rohingya, yang dihadiri kira-kira 200,000 orang Rohingya. Perhimpunan itu mengesahkan kepemimpinannya yang tertinggi di kalangan pelarian.

Pada tahun itu, beliau juga diterbangkan ke Amerika Syarikat, bagi menghadiri pertemuan kebebasan beragama yang dianjurkan Jabatan Negara AS yang ketika itu dipimpin Donald Trump sebagai presiden.

Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan keselamatan Bangladesh menyekat aktiviti kumpulan Ullah. ARPSH tidak dibenarkan mengadakan demonstrasi semasa ulang tahun tindakan keras pada 2020 dan 2021.

Pemimpin Rohingya dan aktivis hak yang memantau penempatan berkata pembunuhan Ullah akan memberi kesan yang besar.

“Kami tidak mengharapkan pemimpin progresif lain seperti beliau di kem Bangladesh. Kami sangat sedih dengan kematian beliau yang bukan pada waktunya,” tulis artis Rohingya, Mayyu Khan di Facebook.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNHCR turut mezahirkan kesedihan dengan kejadian itu.

“Kami terus berhubung dengan pihak berwajib yang bertanggung jawab menjaga keamanan dan keselamatan di kem,” kata jurucakap UNHCR di Bangladesh, Regina De La Portilla, kepada AFP. – AFP, 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen