2 depot aktifkan sistem amaran elak tahanan lolos berulang, kata imigresen


Dalam kejadian awal pagi tadi, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang dan enam daripada mereka maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran kawasan Jawi, Nibong Tebal. – Gambar Facebook, 20 April, 2022.

DEPOT Tahanan Imigresen di Bidor, Perak dan Beranang, Selangor telah diaktifkan sistem amaran bagi memastikan kejadian tahanan meloloskan diri seperti yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, berulang.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata aspek keselamatan di kedua-dua depot berkenaan telah dipertingkatkan memandangkan pusat tahanan sementara itu asalnya merupakan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

“Semua komandan telah berhubung dengan balai polis berdekatan dan telah mengaktifkan sistem amaran kerana tidak mahu kejadian itu memberi inspirasi kepada (tahanan di) depot yang lain,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Dalam kejadian awal pagi tadi, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang dan enam daripada mereka maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran kawasan Jawi, Nibong Tebal.

Khairul Dzaimee bagaimanapun menjelaskan bahawa depot tahanan Sungai Bakap itu digunakan jabatan berkenaan untuk menempatkan pelarian yang didapati positif Covid-19. 

“(Seramai) 528 orang tahanan etnik Rohingya yang ditempatkan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap asalnya ditahan di perairan Langkawi pada 2019 yang kemudian ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi. Namun kem itu ditutup pada 2021 dan pelarian tersebut kemudian dipindahkan ke beberapa depot antaranya di Sungai Bakap,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya berlaku kematian di depot tersebut sehingga memberi tekanan kepada tahanan, Khairul Dzaimee berkata hanya satu kes kematian kerana sakit biasa direkodkan namun, ia tiada kaitan dengan kejadian meloloskan diri berkenaan.

Beliau berkata punca kejadian pada awal pagi itu, masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha mengesan saki-baki warga asing yang meloloskan diri masih giat dijalankan pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang awam.

Di Ipoh, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata tiada sebarang tangkapan terhadap saki-baki tahanan etnik Rohingya yang telah melarikan diri itu di Perak, meskipun sebanyak 243 sekatan jalan raya (SJR) dijalankan di 54 lokasi berdekatan sempadan utara negeri ini.

Ini termasuk di daerah Kerian, Selama dan Taiping iaitu kawasan yang berhampiran dengan Pulau Pinang dan Kedah.

“Kita telah melaksanakan Ops Tutup sejak awal pagi tadi selepas kita menerima maklumat daripada kontinjen Pulau Pinang dan Kedah tentang pembolosan yang berlaku di depoh berkenaan.

“Sehingga kini kita belum dapat mengesan apa-apa tetapi kita akan meneruskan Ops Tutup bagi membantu kontinjen berkenaan (Pulau Pinang dan Kedah) dalam mengesan pelarian Rohingya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemakaian dan Penyematan Pangkat kepada 303 Pegawai dan Anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Kontinjen Perak di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata pihaknya akan meminta bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) sekiranya perlu untuk membantu mengesan tahanan yang masih lagi bebas.

“Tidak dinafikan pelarian Rohingya ini akan masuk ke kawasan perkampungan. Saya menyeru kepada pemimpin dan orang kampung jika nampak mereka, sila hubungi balai polis yang berhampiran untuk kita tahan mereka semula,” katanya. – Bernama, 20 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen