Putrajaya kaji pelan wujud peluang kerja bagi Rohingya, kata menteri


Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata pihaknya sedang mengkaji secara teliti keperluan untuk mewujudkan peluang pekerjaan buat pelarian etnik Rohingya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2022.

KEMENTERIAN Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji secara mendalam sebarang pelan bagi mewujudkan peluang pekerjaan buat etnik Rohingya di negara ini atas faktor keselamatan.

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata kajian secara terperinci itu penting bagi mengelakkan lebih ramai pelarian Rohingya datang ke Malaysia jika pelan itu dilaksanakan. 

“Saya telah berbincang dengan beliau (Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin) berkaitan faktor keselamatan yang menyaksikan KDN risau sekiranya kita benarkan begitu sahaja tanpa rancangan teratur, mungkin lebih ramai pelarian datang ke Malaysia. 

“Jadi kita masih perlu mengkaji secara mendalam daripada segi pelaksanaan. Setakat ini, belum ada keputusan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Iftar Perkeso 2022 di Kuala Lumpur malam ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden 528 tahanan etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada kira-kira 4.30 pagi tadi. 

Setakat 8 malam, seramai 351 pelarian berjaya ditahan semula dan polis melancarkan gerakan mencari mereka yang masih lolos.

Insiden itu turut menyaksikan enam pelarian maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan Jawi, Pulau Pinang. – Bernama, 20 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen