528 tahanan Rohingya lari dari depot imigresen di Kedah


Lebih 500 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari depot sementara imigresen di Sungai Bakap, Pulau Pinang setelah memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang awal pagi tadi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2022.

LEBIH 500 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu, Kedah selepas merusuh awal pagi tadi.

Enam daripada mereka termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya semasa cuba melintas jalan di Lebuh Raya Utara Selatan, kata Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud mengesahkan 528 tahanan semuanya yang melarikan diri dalam kejadian 4.30 pagi tadi.

Sehingga 10 pagi tadi, 362 orang berjaya ditangkap semula, katanya.

“Gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan,” katanya, dalam satu kenyataan.

Gerakan dijalankan dengan bantuan pasukan Polis DiRaja Malaysia, Rela dan orang ramai.

Menurut Khairul Dzaimee, mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang.

Sementara itu, Mohd Shuhaily memaklumkan 229 orang ditahan di kawasan Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan, tidak jauh dari tempat kemalangan yang membunuh enam rakan mereka.

Penduduk kampung dan anggota Imigresen pula menahan 88 orang tidak jauh dari depot, katanya.

Mohd Shuhaily juga memberitau pihaknya mengesan 205 tahanan termasuk kanak-kanak dan warga emas yang merentas sempadan masuk ke Pulau Pinang.

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad dijangka membuat sidang media pada jam 12.30 tengah hari ini bagi memberikan perkembangan kes.– 20 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen