PBB desak tubuh kumpulan hubungan kemanusiaan untuk Ukraine


Ketua Kemanusiaan PBB Martin Griffiths mendesak agar "kumpulan hubungan kemanusiaan" melibatkan Ukraine dan Rusia ditubuhkan. – Gambar EPA, 18 April, 2022.

KETUA Kemanusiaan PBB Martin Griffiths semalam mengumumkan akan bertemu dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Turki minggu ini bagi mendesak penubuhan “kumpulan hubungan kemanusiaan” melibatkan Ukraine dan Rusia.

Kumpulan sedemikian akan “bertemu untuk membincangkan secara maya atau fizikal pada bila-bila masa bagi membincangkan isu kemanusiaan,” kata Griffiths kepada pemberita di New York.

Perbincangan melibatkan pemantauan gencatan senjata, laluan selamat, koridor kemanusiaan atau isu lain antara kedua-dua pihak yang bertelagah, katanya.

Griffiths tidak menyatakan bila beliau akan bertemu Erdogan tetapi pada mulanya berkata merancang untuk tiba di Turki pada Rabu.

Bagaimanapun beliau disahkan positif Covid-19 sejurus selepas pengumuman itu dibuat memaksanya menangguhkan perjalanannya ke tarikh yang belum ditentukan lagi, kata pasukannya kepada AFP.

Griffiths dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres sudah bercakap dengan Erdogan melalui telefon Ahad lepas bagi membincangkan inisiatif itu.

Russia menyerang Ukraine pada 24 Februari dan sejak itu berulang kali dituduh menyasarkan orang awam.

Agensi bantuan memberi amaran tentang keperluan untuk melindungi dan memindahkan orang awam dalam konflik itu.

Griffiths melawat Moscow pada awal April sebelum lawatan ke Kyiv bagi mendapatkan gencatan senjata kemanusiaan dan memudahkan campur tangan bantuan lain.

Minggu lalu bagaimanapun Guterres mengakui cubaan menghentikan pertempuran nampaknya tidak mungkin berlaku dan semalam Griffiths mengesahkan Moscow tidak meletakkan gencatan senjata tempatan di dalam agenda mereka.

Ukraine bersetuju dengan kebanyakan cadangan kemanusiaan PBB tetapi Rusia belum bersetuju sambil memberi amaran bahawa terlalu mudah bagi kedua-dua pihak untuk “menyalahkan satu sama lain”.

Pegawai itu berkata beliau merancang melawat Rusia sekali lagi selepas lawatannya ke Turki. – AFP, 18 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen