Nazri sertai pemimpin Umno gesa PRU awal


Chan Kok Leong Aminah Farid

Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan sudah hilang asas moral untuk terus mentadbir negara apabila kalah undian RUU pindaan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya membubarkan Parlimen untuk pilihan raya baharu kerana pentadbirannya hilang asas moral untuk memerintah, kata Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas-BN).

“Sukar untuk kami berdiri di sini hari ini dan mentadbir kerajaan kerana kami telah tewas asas moral dan rang undang-undang pindaan,” kata Nazri kepada Dewan Rakyat semasa perbahasan rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan hari ini.

“Kami telah kehilangan asas moral untuk terus menjadi kerajaan. Jadi saya serahkan kepada parti saya untuk membuat keputusan,” tambah bekas anggota Kabinet itu.

Nazri berkata walaupun beliau mempertikaikan pilihan raya baharu tahun ini, peristiwa semalam mengubah pandangannya.

“Jalan yang betul sekarang adalah kembali kepada rakyat, iaitu kita mempunyai alasan sekarang untuk mengadakan pilihan raya umum.

“Jika kita mengikut konvensyen di United Kingdom, kerajaan akan kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu apabila ia kalah RUU walaupun ia mempunyai majoriti.”

Nazri antara pemimpin Umno terbaharu yang memutuskan meminta Ismail Sabri membubarkan Parlimen berikutan kegagalan kerajaan meluluskan RUU pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) semalam.

Susulan kekalahan semalam, pemimpin Umno termasuk mereka yang tidak hadir semasa undian, kini menggesa Ismail Sabri mengadakan pilihan raya umum.

RUU pindaan – yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin – untuk melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi ditolak melalui undi belah bahagi (86-84) di Parlimen semalam.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, ketika mengumumkan pengundian, berkata 50 ahli Parlimen tidak hadir. – 24 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen