Biar kementerian pelancongan urus MM2H, kata Nazri


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Program MM2H harus dikembalikan dan diuruskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bukannya KDN, kata Ahli Parlimen Rengas Mohamed Nazri Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2021.

PROGRAM Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) harus dikembalikan dan diuruskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), dan bukannya Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Ahli Parlimen Rengas Mohamed Nazri Aziz.

Beliau bimbang lebih banyak permohonan MM2H ditolak jika ia terus diuruskan oleh KDN.

Katanya, jika itu berlaku, negara akan rugi kira-kira RM4 bilion setahun hasil pendapatan program MM2H.

“KDN akan lihat dari sudut ‘safety dan security’ negara. Saya difahamkan ini sebabnya sebelum ini apabila diproses (MM2H)  kementerian pelancongan kemudian hantar kepada KDN, imigresen.

“Selepas proses itu dijalankan, akhirnya imigresen menolak tanpa diberi sebab alasan penolakan.

“Kalau dulu MM2H di bawah Motac, menghadapi masalah yang saya sebut tadi. Ini pula apabila diletak di bawah imigresen saya kira permohonan yang ditolak akan bertambah,” katanya semasa membahaskan pelan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata KDN juga tidak harus melihat setiap peserta MM2H berpotensi menjadi ancaman  kepada negara dan akan melanggar undang- undang.

“Dalam 57,048 peserta MM2H yang direkodkan datang ke Malaysia, belum ada satu pun peserta yang didakwa, atau disiasat kerana melakukan kesalahan,” tambahnya.

Pada masa sama beliau turut mengkritik syarat baharu kelayakan yang dikuatkuasa KDN terhadap peserta MM2H yang disifatkan tidak masuk akal.

“Saya difahamkan antara sebab yang akan ditanya untuk perbaharui lesen ialah kenapa kamu mahu perbaharui lesen kamu dan dapatkan keizinan duduk negara ini.

“Saya fikir ini sangat mengarut (apabila) kita perlu tanya orang itu kenapa dia nak perbaharui lesen MM2H padahal dia dah duduk lama di Malaysia,” katanya.

Nazri berkata syarat baharu itu termasuk peraturan menghadkan tempoh tinggal minimum hanya 90 hari dan usia peserta.

Syarat baharu itu hanya akan merumitkan lagi situasi kerana tidak mustahil peserta MM2H akan meninggalkan program dan berhijrah di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, katanya.

“Kerana itu saya nak minta kerajaan supaya jangan menyusahkan  orang yang nak datang ke negara kita.

“Yang kita bimbang sebab bukan Malaysia saja jadi tumpuan untuk bersara tapi kita ada Indonesia dan Thailand, kerana itu saya minta KDN tolonglah jangan fikir setiap orang nak datang itu nak ambil kesempatan ke atas negara,” katanya.

Pada 1 September, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata kerajaan melakukan penambahbaikan kepada syarat permohonan Program MM2H.

Beliau berkata dasar kerajaan ketika ini menetapkan bilangan peserta MM2H pada 1% daripada jumlah populasi negara.

Isu syarat kelayakan baharu itu turut mengundang perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang menzahirkan rasa kecewa terhadap KDN kerana enggan menyemak semula syarat ketat MM2H. – 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen