Nazri tolak jawatan duta kerana enggan lepas jawatan ahli Parlimen


Mohamed Nazri Abdul Aziz menolak dakwaan seorang penulis blog yang mengaitkannya dengan skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2022.

MOHAMED Nazri Abdul Aziz berkata beliau menolak jawatan sebagai duta ke Switzerland pada 2019 kerana perlu meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen, yang menjadi keperluan di Eropah.

Komen ahli Parlimen Padang Rengas itu dibuat selepas penulis blog Hussein Hamid mendakwa Geneva menolak pelantikannya kerana beliau mungkin dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Di Eropah, ahli Parlimen tidak boleh menjadi duta. Saya tidak mahu meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen, penggal saya akan tamat dalam satu setengah tahun. Saya perlu menunggu sehingga tamat penggal saya,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

Beliau juga menolak dakwaan penulis blog itu dan menyifatkannya sebagai “bodoh”.

“Saya tidak kisah apa orang kata. Orang yang paling penting ialah pengundi saya.

“Blogger ini bodoh. Mereka fikir mereka tahu segala-galanya sedangkan sebaliknya. Tidak mengapa jika anda tidak suka saya dan membuat komen. Lebih baik, berdepan dengan saya dalam pilihan raya.

“Tetapi yang dikatakan, saya tidak akan bertanding (dalam pilihan raya akan datang) lagi.”

Selepas 26 tahun berkecimpung dalam politik, Nazri mengumumkan pada Ogos lalu yang beliau akan bersara daripada politik.

Dalam catatan blog, Hussein mendakwa Nazri mempunyai kaitan rapat dengan siasatan pihak berkuasa Switzerland berhubung 1MDB.

“Kerajaan Switzerland sedang menjalankan siasatan jenayah ke atas 1MDB dan mereka berasa Nazri bersubahat dalam skandal itu kerana beliau ketika itu merupakan menteri kanan dalam Kabinet Najib Razak,” katanya.

Penulis blog itu menambah, Wisma Putra juga tidak memihak kepada ahli politik dan diplomat bukan kerjaya dilantik bagi jawatan itu. – 10 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen