Bentuk jawatankuasa pilihan khas anti lompat parti, kata Nazri


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkata kerajaan perlu mempercepatkan proses penggubalan RUU Anti Lompat Parti dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2021.

PUTRAJAYA perlu mempercepatkan proses penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, kata Nazri Aziz.

“Ahli politik sama ada ahli Parlimen atau senator dibenci kerana lompat parti.

“Walaupun Barisan Nasional menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hujung minggu lalu, ia adalah pilihan raya yang tidak perlu semasa wabak melanda,” kata ahli Parlimen Padang Rengas itu semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2022 hari ini.

“Oleh itu saya berharap kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa pilihan khas yang akan dipengerusikan oleh Speaker Azhar Azizan Harun untuk mempercepatkan kelulusan RUU Anti Lompat Parti,” kata bekas menteri undang-undang dan Parlimen itu. 

Beliau berkata setiap parti politik boleh menghantar wakil kepada jawatankuasa pilihan bagi memuktamadkan isu itu.

PRN Melaka diadakan selepas empat Adun menarik semula sokongan mereka terhadap ketua menteri ketika itu Sulaiman Md Ali.

Pada pilihan raya Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi. Pakatan Harapan menang lima kerusi manakala Perikatan Nasional memenangi dua kerusi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata minggu lalu kerajaan merancang membentangkan beberapa siri pindaan perlembagaan Julai depan termasuk mengenai isu lompat parti.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata pindaan itu juga akan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.

“Ini dalam CSA (Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan antara kerajaan dan pembangkang) yang saya perlu laksanakan sekurang-kurangnya mesti dibentangkan sebelum atau semasa persidangan pada Julai,” katanya semasa perbahasan penggulungan mengenai Rang undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat dasar. – 22 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen