Nazri cadang cukupkan 5 tahun sebelum pilihan raya umum


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penetapan itu akan membolehkan rancangan pembangunan kerajaan untuk rakyat dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan teratur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

AHLI Parlimen Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas-BN) mencadangkan pilihan raya umum hanya dijalankan selepas cukup satu penggal atau setiap lima tahun, dan tidak kurang daripada tempoh itu.

Penetapan itu akan membolehkan rancangan pembangunan kerajaan untuk rakyat dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan teratur, katanya.

“Dalam reformasi Parlimen ini saya harap penggal ditentukan setiap lima tahun. Kita bersetuju, lima tahun bermakna lima tahun,” katanya, semasa membahaskan usul titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Nazri berkata sekiranya pilihan raya diadakan lebih awal daripada tempoh lima tahun, parti pemerintah akan memperolehi kelebihan berbanding parti lawan di samping menyukarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ini membolehkan kita merancang nak bantu rakyat ke apa, tapi kalau kata lima tahun tetapi jika selepas tiga tahun buat pilihan raya umum, ia akan beri kelebihan kepada parti membentuk kerajaan untuk guna peruntukan SPR untuk kepentingan mereka. 

“Kita menipu rakyat, kita ada pilihan raya umum dan wakil itu akan dipilih lima tahun tak semena-mena lepas dua tahun kita ada pilihan raya umum… secara tak langsung kita menipu rakyat,” kata Nazri.

Ahli Parlimen empat penggal itu berkata dengan penetapan seperti itu, SPR akan mempunyai masa mengumpul dana dan mengurus pilihan raya dengan lebih baik.

“Membantu perancangan lima tahun dan setiap tahun beri peruntukan kepada SPR untuk perbelanjaan yang sudah tahu memang akan berlaku setiap lima tahun.

“Kalau mengejut mana nak cari duit lagi, sekarang nak adakan pilihan raya umum sahaja sudah mencecah RM1bilion… mana nak cari duit,” katanya.

Nazri berharap cadangannya dapat dilaksanakan dalam reformasi Parlimen yang dipersetujui antara kerajaan dengan pembangkang dari Pakatan Harapan (PH).

“Saya harap apa yang kita janji antara kerajaan dan pembangkang yang kita nak reform, setuju secara bersama, tempoh lima tahun adalah lima tahun,” tambahnya.

Selain itu, Nazri turut mencadangkan perjanjian persefahaman itu menghadkan kuasa pemerintahan perdana menteri selama dua penggal.

“Kerana untuk elakkan dikumpul kuasa kepada seorang kalau sekiranya boleh jadi perdana menteri lebih daripada dua penggal,” kata Nazri.

Perdana Menteri Ismail Sabri memeterai persefahaman transformasi dan kestabilan politik dengan PH pada 13 September, yang antara lain menjanjikan pembaharuan Parlimen dan pentadbiran kerajaan. – 20 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen