Nazri Aziz gesa Umno sokong Ismail, halang Pakatan berkuasa


Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkata beliau juga tidak mempunyai masalah dengan mana-mana individu daripada Bersatu yang akan memegang jawatan timbalan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos 2021.

NAZRI Aziz mengesahkan sudah menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri dan mahu ahli Parlimen Umno lain membuat perkara yang sama.

Ahli parlimen Padang Rengas itu berkata beliau juga tidak mempunyai masalah dengan mana-mana individu daripada Bersatu yang akan memegang jawatan timbalan perdana menteri

“Saya sudah menandatangani dan saya fikir semua Ahli Parlimen Umno harus menyokongnya, termasuk mereka yang menentang Muhyiddin Yassin.

“Beliau sudah tiada sekarang, jadi tidak ada alasan untuk tidak menandatangani. Sebelum ini, Umno tidak mahu Muhyiddin, sekarang tidak ada lagi alasan untuk tidak menyokong Perikatan Nasional,” katanya setelah menandatangani SD di Hotel Raja Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Bekas Menteri Pelancongan itu berkata beliau tidak keberatan jika timbalan perdana menteri itu adalah daripada kalangan ahli Bersatu.

Katanya, menyokong Ismail bermaksud menghalang Pakatan Harapan berkuasa kembali.

“Kami menyokong PN, kami tidak mahu PH. Mereka tidak dapat bertindak sebagai kerajaan. Umno akan kembali lagi dan itu penting,” katanya.

Pendedahan itu dibuat ketika ahli Parlimen Umno yang menyokong Muhyiddin Yassin mula mencari sokongan untuk menggantikan perdana menteri melalui gabungan kerjasama politik yang munasabah, kata beberapa sumber.

The Malaysian Insight difahamkan Muhyiddin akan mengemukakan dua calon pengganti perdana menteri apabila beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

“Ahli Parlimen Umno yang paling berpengaruh akan dapat sokongan penuh parti untuk jadi perdana menteri, dan timbalannya dari Bersatu,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

Dua calon dari Umno ialah Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob yang juga timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan, serta Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, yang juga menteri kanan luar negara. – 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen