Diskriminasi hak kerakyatan pemikiran kuno, kata Nazri


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak setuju Putrajaya merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan wanita Malaysia dibenarkan mendapat hak kerakyatan bagi anak mereka yang lahir daripada pasangan warganegara asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

MENAFIKAN hak kerakyatan kepada anak yang lahir di luar negara daripada wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing adalah satu bentuk pemikiran kuno, kata Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ahli Parlimen (BN-Padang Rengas) itu berkata, langkah menghalang anak wanita itu mendapatkan kerakyatan juga sebahagian daripada bentuk diskriminasi kepada kumpulan wanita.

“Ini diskriminasi terhadap wanita, bagi saya untuk hukum wanita yang anak mereka tak jadi warganegara semata-mata bernikah dengan orang luar, anak lahir di luar negara… ini diskriminasi dalam masa kita hidup pada tahun 2021.

“Ini pemikiran kuno… memang jelas sekali diskriminasi terhadap kaum wanita,” kata Nazri dan menambah pemikiran seperti itu tidak seharusnya dilayan.

Beliau menyentuh hak kerakyatan itu semasa membahaskan usul titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 9 September, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir memutuskan wanita Malaysia dibenarkan mendapat hak kerakyatan bagi anak mereka yang lahir daripada pasangan warganegara asing.

Pada 9 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Bagaimanapun, pada 13 September Putrajaya telah mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Menurut Nazri, beliau tidak setuju dengan langkah kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan perkara itu. 

“Apabila Mahkamah Tinggi sudah buat keputusan, kerajaan tak perlu merayu. 

“Rayuan diberikan kepada orang yang kalah membawa kes kepada kerajaan atau kerajaan dakwa di bawah Kanun Keseksaan.

“Saya minta kerajaan adalah ehsan kepada kaum wanita dan anak yang tidak berdosa ini… anak bukan minta nak lahir di Malaysia. Dia tiada keupayaan. 

“Bukan sahaja diskriminasi wanita tapi kesalahan kepada bayi yang lahir dan tak berdosa, tak tahu menahu langsung dia lahir di luar negara dia tak boleh jd warganegara,” kata Nazri lagi.

Nazri juga tidak menolak kemungkinan kerajaan tiada alasan untuk merayu keputusan berkenaan.

“Saya rasa kerajaan tiada alasan selain apa yang dilakukan ini pemikiran kuno,” kata Nazri.

Sehubungan itu beliau mengharapkan kerajaan dapat menarik balik rayuan tersebut. 

“Saya minta kerajaan tariklah balik, tiada asas…tak perlu kalau kita teruskan.

“Kerajaan kena bersikap sayang, kita satu keluarga tapi dari awal kita dah menolak orang nak jadi warganegara tanpa beri hak untuk memutus.

“Saya fikir kerajaan tak bersikap seperti mana dimahukan perdana menteri, kita keluarga besar, sepatutnya kita menambah, bukan kurangkan keluarga kita,” kata Nazri.

Kelmarin, Sultan Johor juga menggesa kerajaan menarik balik rayuan kepada Mahkamah Rayuan yang difailkan oleh pihak peguam negara. – 20 September, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen