7 maut helikopter tentera terhempas di Romania


Tujuh anggota tentera Romania terbunuh dalam nahas udara yang melibatkan helikopter IAR 330-Puma.– Gambar EPA, 3 Mac, 2022.

TUJUH anggota tentera maut selepas helikopter mereka terhempas pada hari Rabu di timur Romania berhampiran Laut Hitam ketika mencari jet pejuang dan juruterbangnya yang hilang, kata pegawai.

“Tujuh anggota tentera kehilangan nyawa mereka dalam nahas udara yang melibatkan helikopter IAR 330-Puma pada Rabu,” kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

“Selain lima anak kapal yang dilaporkan pada awalnya, dua penyelamat laut dari Angkatan Laut Romania turut berada di atas helikopter itu.”

“Operasi mencari dan menyelamat juruterbang pesawat MiG 21 LanceR masih diteruskan,” katanya.

Helikopter IAR 330-Puma itu terhempas di kawasan Gura Dobrogei, 11 kilometer (tujuh batu) dari lapangan terbang.

Ia dalam misi mencari jet pejuang itu, sejurus selepas terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang dari radar.

Juruterbang telah melaporkan keadaan cuaca buruk dan telah diarahkan kembali ke pangkalan, menurut jurucakap kementerian Jeneral Constantin Spanu.

“Masih terlalu awal untuk membincangkan kemungkinan punca kejadian. Sudah tentu, terdapat keadaan cuaca yang tidak baik, tetapi kami tidak boleh mengulas sekarang,” katanya kepada televisyen Digi24.

“Kami mempunyai dua suruhanjaya siasatan yang ditubuhkan. Tumpuan kami adalah pada operasi mencari dan menyelamat,” katanya. – AFP, 3 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen