ROMANIA melaporkan kes pertama koronavirus yang disahkan pada Rabu - seorang lelaki yang mempunyai kontak dengan seorang warga Itali yang melawat negara minggu lalu.
“Pesakit, yang berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang simptom, akan dipindahkan ke hospital penyakit berjangkit di Bucharest,” kata Menteri Kesihatan, Victor Costache.
Tujuh orang lain yang tinggal di alamat sama dengan indvidu itu di daerah Gorj tenggara didapat negatif ujian virus tetapi akan dikuarantin selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga, kata pegawai jabatan kecemasan Raed Arafat.
Rakyat Itali itu dipercayai menjadi sumber diagnosis pertama Romania yang positif virus berbahaya apabila kembali ke Itali selepas lawatan empat hari ke Gorj.
Kes baru muncul di seluruh Eropah, kebanyakannya dikaitkan dengan pusat koronavirus di Itali utara.
Beberapa kerajaan mengeluarkan amaran perjalanan ke Itali, yang kini mencatatkan 400 kes dan 12 kematian.
Wabak Covid-19 kini meragut lebih 2,700 nyawa dan menjangkiti lebih 80,000 di 34 negara, walaupun majoriti kes berlaku di China, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – AFP, 27 Februari, 2020.
Komen