Banyak pusat berpantang di Lembah Klang beroperasi tanpa berlesen


Angie Tan

Majoriti pusat berpantang di Lembah Klang beroperasi tanpa lesen kerana tiada garis panduan daripada pihak berkuasa tempatan untuk permohonan lesen perniagaan itu. – Gambar EPA, 28 Februari, 2022.

SEJUMLAH besar pusat berpantang di Lembah Klang beroperasi tanpa lesen kerana tiada garis panduan daripada pihak berkuasa tempatan untuk permohonan lesen, kata pengendali.

Mereka berkata daripada 300 pusat berpantang di Lembah Klang, majoritinya tidak berlesen.

Presiden Persatuan Penjagaan Lepas Bersalin Malaysia (MPCA) Chris Loh berkata 80% daripada pusat ini beroperasi di kawasan perumahan sementara bakinya di kawasan komersial.

“Bagi yang beroperasi kawasan perumahan, kerajaan tidak mengeluarkan lesen khusus untuk mereka.

“Mereka hanya boleh memohon lesen beroperasi untuk perkhidmatan penjagaan anak, tadika atau pusat penjagaan kesihatan,” katanya.

Pusat berpantang biasanya perlu memperbaharui lesen setiap tahun, tetapi sejak tiga tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa tempatan cenderung untuk membatalkannya jika berpendapat pusat berkenaan tidak memenuhi kriteria.

“Bagi pemilik perniagaan, keadaan ini sangat tidak selamat terutama apabila ia membabitkan penjagaan ibu dan bayi.

“Bukannya pusat ini tidak mahu memohon lesen atau menjadikan perniagaan mereka sah, tetapi pihak berkuasa tempatan tidak memberikan garis panduan bagaimana untuk berbuat demikian.”

Beroperasi tanpa lesen memberi banyak cabaran kepada pengendali, termasuk pelanggan mempertikaikan perniagaan itu, pelabur enggan membuat pelaburan, tidak dapat mengambil insurans untuk perniagaan dan pekerja, kata Loh.

Exco Selangor Ng Sze Han berkata garis panduan yang ada akan dapat membantu pemilik syarikat pusat berpantang membuat permohonan lesen operasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2022.

Ivy Chia yang mengendalikan pusat berpantang di Kajang juga senada dengan Loh.

“Kami mahu mohon mendapatkan lesen tetapi tidak ada garis panduan, malah pihak berkuasa tempatan juga tidak ada lesen untuk kami.”

Bagi pelanggan, apabila dapat tahu pusat berkenaan beroperasi tanpa lesen, mereka juga agak ragu-ragu, katanya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor mengumumkan garis panduan untuk permohonan lesen bagi pusat berpantang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor Ng Sze Han berkata garis panduan itu akan membantu industri berkenaan mengesahkan perniagaan mereka dan pada masa sama dipantau kerajaan tempatan.

“Di Selangor banyak pusat berpantang di kawasan perumahan dan kami sering menerima aduan daripada penduduk yang risau,” katanya.

Data pada 2020 menunjukkan terdapat antara 100 hingga 150 pusat berpantang di Selangor. – 28 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen