Lesen arak akan jejas lebih 35,000 restoran, kedai kopi, kata persatuan


Angie Tan

Mulai 1 Januari depan, kedai kopi yang menjual arak disyaratkan supaya memohon lesen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

PENGUATKUASAAN lesen arak akan menjejaskan perniagaan lebih 35,000 restoran dan kedai kopi yang menjual minuman itu, kata pengusaha.

Mulai 1 Januari depan, kedai kopi yang menjual arak disyaratkan supaya memohon lesen yang kosnya sekitar RM1,300, yang menurut mereka membebankan.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura Wong Teu Hoon berkata kebimbangan itu telah disampaikan kepada Kementerian Kewangan melalui sepucuk surat dengan bantuan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Lim Ban Hong, yang kedua-duanya dari MCA.

“Dengan bantuan mereka kami hantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk membantah peraturan tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Peraturan lesen arak itu katanya telahpun dilaksanakan di Perlis tetapi negeri-negeri lain masih belum menerima notis penguatkuasaan.

“Tetapi pada pertengahan September lalu saya dengar ia akan dilaksanakan di seluruh negara, dan ini menyebabkan pengusaha bimbang,” ujarnya.

Menurut Wong, kedai kopi hanya perniagaan kecil yang amat bergantung kepada penjualan minuman untuk kekal bertahan. Tambahnya, minuman keras dijual hanya dalam kuantiti yang kecil berbanding minuman lain seperti kopi.

“Saya tak buat untung pun dengan jual arak, tetapi sekarang saya terpaksa mohon lesen. Penghujungnya, pengusaha mungkin langsung tidak akan jual arak,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam masih belum mengeluarkan pengumuman rasmi berhubung lesen penjualan arak.

“Nampak seperti kementerian sudah tarik balik tetapi Jabatan Kastam tetap mahu teruskan. Sekarang, kami semua jadi keliru.”

Presiden Persatuan Pekedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur Lee Chow Hait memberitahu The Malaysian Insight, isu lesen penjualan arak ada disebut dalam sesi libat urus bersama Jabatan Kastam dan polis Kuala Lumpur bulan lepas.

“Persatuan ada bangkitkan tentang nasib industri. Kedai kopi tak jual banyak arak tetapi masih perlu bayar yuran lesen jual arak lebih RM1,000 setahun, dan jumlah ini besar bagi pengusaha.

“Pada mesyuarat itu juga, pegawai kerajaan tak sebut pun pendirian mereka, tetapi alih-alih keluar berita kami mesti mohon lesen jual arak bermula 1 Januari depan,” kata Lee.

Agak munasabah kalau yuran yang dikenakan sekitar RM100 hingga RM200 setahun, dan pengusaha sudah tentu bersedia untuk beri kerjasama, tambahnya.

“Kami masih belum pulih. Kenapa kerajaan mahu bebankan kami? Saya percaya lebih ramai pengusaha akan sedia bekerjasama kalau yurannya dikurangkan.” – 7 Disember, 2021. 

Berita penuh di sini


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen