Guan Eng desak Wee berhenti kelirukan rakyat isu lesen minuman keras


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam berkata sebarang isu berhubung lesen penjualan minuman keras atau pengecualiannya tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2021.

LIM Guan Eng hari ini menggesa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berhenti menipu orang ramai mengenai lesen penjualan minuman keras di restoran dan kedai kopi.

Setiausaha agung DAP itu merujuk kepada penafian Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, berkenaan kenyataan Wee bahawa kerajaan telah menarik balik peraturan itu.

Tengku Zafrul semasa sidang Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan setakat ini tidak berhasrat untuk menarik balik sebarang kelulusan berkaitan pelesenan penjualan minuman keras.

Sebarang isu berhubung lesen penjualan atau pengecualiannya adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya.

“Tengku Zafrul berkata kerajaan negeri berkuasa penuh membuat keputusan berkenaan lesen penjualan minuman keras di restoran dan kedai kopi,” kata Lim dalam kenyataan.

Pada 1993, Jabatan Kastam menangguhkan penguatkuasaan tersebut, dengan membenarkan restoran dan kedai kopi menjual bir tanpa perlu membayar yuran lesen tahunan RM1,300.

Menurut Lim, kenyataan Tengku Zafrul yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri selari dengan surat Jabatan Kastam bertarikh 16 Ogos, yang menyebut penangguhan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras yang berkuatkuasa 20 September 1993 ditarik balik.

“Dengan menarik balik penangguhan dan memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk membuat keputusan, maka kedai kopi dan restoran di negeri-negeri di bawah pengaruh PAS akan terbeban dengan kos lesen tambahan sehingga RM1,300.

“Walaupun dinafikan Tengku Zafrul, Wee masih enggan mengaku beliau telah mengelirukan orang ramai apabila menunjukkan surat daripada Jabatan Kastam bertarikh 9 Disember mengenai pembatalan pekeliling yang dikeluarkan pada 16 Ogos 2021,” jelasnya.

Pekeliling yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Kastam Samson Sevanjanam menyebut pelaksanaan lesen wajib penjualan minuman keras di restoran dan kedai kopi diteruskan. – 10 Disember, 2021.  

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen