Adakah Wee akan bertanggungjawab berhubung bayaran lesen alkohol, tanya Guan Eng


Aminah Farid

Setiausaha agung DAP berkata penerimaan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong benarkan pihak berkuasa pelesenan negeri buat keputusan adalah tidak bertanggungjawab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2021.

SETIAUSAHA Agung DAP yang juga bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini mempersoalkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sama ada beliau akan memikul tanggungjawab sepenuhnya jika mana-mana pihak berkuasa pelesenan negeri mengenakan lesen alkohol untuk jualan minuman keras di kedai kopi dan restoran.

Ini selepas Wee semalam mengumumkan Kementerian Kewangan telah mengarahkan Jabatan Kastam membatalkan arahannya untuk menguatkuasakan lesen minuman keras bagi jualan runcit minuman beralkohol.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kedai kopi dan restoran perlu memohon lesen minuman keras, yang berharga antara RM840 dan RM1,320 setahun, jika mahu meneruskan penjualan minuman keras di premis mereka mulai 1 Januari.

“Pembatalan lesen minuman keras yang diumumkan oleh Wee bukanlah pembatalan sama sekali kerana keputusan sama ada untuk mengenakan yuran pelesenan sehingga RM1,300 kini diberikan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ini berbeza dengan situasi sekarang yang mana Kementerian Kewangan membuat syor yang sama seperti yang dibuat sejak 45 tahun lepas di bawah Akta Eksais 1976 bahawa tidak perlu melesenkan penjualan bir sebagai alkohol.

“Sekiranya Wee mendakwa isu itu telah diselesaikan, maka menteri kewangan perlu mengumumkan keputusan sama ada untuk mengenakan pelesenan ke atas penjualan bir tidak harus diserahkan kepada pihak berkuasa pelesenan negeri masing-masing tetapi mesti kembali kepada kedudukan sebelumnya untuk 45 tahun lepas,” kata Lim.

“Jelas sekali, ini adalah kuasa Persekutuan yang dilaksanakan oleh menteri kewangan kerana menjual arak tanpa lesen boleh didenda RM50,000 di bawah Akta Eksais 1976 dan bukan di bawah undang-undang negeri,” katanya.

“Kenapa beri kuasa kepada pihak berkuasa pelesenan negeri yang tidak ada? Dengan menyerahkan kuasanya kepada kerajaan negeri masing-masing adalah melepaskan tanggungjawab untuk melaksanakan kuasa ke atas apa yang berada dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya.

Lim juga menekankan bahawa walaupun dalam kerajaan negeri yang dikawal PH, pengusaha restoran dan kedai kopi selamat, ia mungkin menjejaskan gaya hidup adat dan amalan perniagaan biasa orang bukan Islam di kerajaan negeri lain yang sangat dipengaruhi oleh dasar melampau PAS. 

“Ini kerana Kementerian Kewangan akan berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa apabila beberapa kerajaan negeri yang terpengaruh dengan dasar ekstremis PAS memutuskan untuk mengenakan bayaran pelesenan alkohol ke atas kedai kopi dan restoran,” kata Lim.

“Malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melarang kedai runcit, kedai serbaneka dan dewan perubatan Cina menjual arak yang telah dijual tanpa gangguan sejak Merdeka pada 1957 walaupun DBKL tahu ia hanya dijual kepada bukan Islam,” katanya. 

Lim berkata pada pertemuan dengan persatuan Pengusaha Kedai Kopi dan Restoran KL-Selangor semalam, persatuan itu mengulangi pendirian mereka bahawa kerajaan Persekutuan mesti kembali kepada kedudukan sebelumnya yang secara automatik membenarkan kedai kopi dan restoran terus menjual bir tanpa membayar yuran lesen alkohol sehingga RM1,300.

“Penerimaan Wee untuk membenarkan pihak berkuasa pelesenan negeri membuat keputusan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima oleh pengusaha restoran dan kedai kopi kerana jualan bir yang sebelum ini tidak perlu dilesenkan, kini mungkin tertakluk kepada beberapa kerajaan negeri mengenakan bayaran pelesenan,” tambah Lim. – 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen