WUJUD harapan yang tokong dan kuil gua terkenal di Perak akan dapat diwartakan dengan hak milik tanah khusus untuk kegunaan keagamaan, susulan mesyuarat pertama jawatankuasa khas negeri yang membincangkan isu itu.
Penjaga tokong yang berusia lebih seabad itu serta wakil rakyat yang menganggotai jawatankuasa berkata mesyuarat itu dapat merangka permohonan status tanah untuk tujuan keagamaan.
Bagaimanapun ada penjaga tokong yang bimbang mereka tidak akan melepasi tahap pemeriksaan tanpa mengeluarkan belanja besar bagi menjalankan kerja tambah baik struktur.
Kong Run Hon, pengasas Tokong Jubaoyan Thai Buddhist berkata beliau bimbang mereka tidak akan layak untuk memohon status tanah bagi tujuan keagamaan.
“Selepas kami menghantar permohonan, akan ada kerja pemeriksaan dan saya bimbang yang kami tak penuhi piawaian mereka, atau kami perlukan banyak dana untuk memenuhi piawaian itu,” kata Kong kepada The Malaysian Insight.
“Kami badan bukan keuntungan. Jika kami belanjakan banyak duit untuk kerja ubah suai, ia akan jadi beban besar. Tetapi jika dalam kemampuan, sudah tentu kami akan bekerjasama.”
Jubaoyan relatifnya adalah tokong baru yang dibina kurang tiga tahun lalu.
Kong pernah memohon hak milik tanah dan selepas pemeriksaan dijalankan, ada janji lisan dibuat kepadanya yang hak milik akan diberikan. Tetapi selepas lebih setahun kemudian, beliau menerima notis pengusiran.
Notis pengusiran tiga puluh hari itu dikeluarkan kepada 19 tokong dan kuil gua oleh Jabatan Tanah dan Galian Perak pada awal Januari, yang mengejutkan banyak pihak kerana ia sudah lama beroperasi tanpa sebarang masalah, walaupun tanpa dokumentasi dan kawalan perundangan.
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad- yang sebelum ini berkata notis dikeluarkan atas alasan keselamatan- mengakui wujud sensitiviti dalam isu itu dan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Walaupun notis pengusiran masih belum dibatalkan dan tarikh akhir keluar sudah berlalu, pejabat tanah berkata tiada tindakan akan diambil ke atas kuil dan tokong di kawasan yang juga tarikan pelancong itu.
Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing yang juga anggota jawatankuasa khas berkata beberapa konsensus sudah dicapai pada mesyuarat kali pertama.
Sebelum ini beliau menggesa dasar sesuai digubal untuk kuil dan tokong gua tanpa perlu penguatkuasaan notis pengusiran yang dikeluarkan.
“Jika tiada dasar atau garis panduan ditetapkan, tiada cara untuk menjalankan semakan keselamatan dan permohonan kelulusan pada masa hadapan.
“Pengarah pejabat tanah juga berharap yang jawatankuasa khas ini akan terus berjumpa untuk tempoh jangka masa panjang,” kata Tan, wakil rakyat dari PKR itu. – 20 Februari, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen