NGO Hindu desak MB Kedah beri jaminan tiada lagi kuil akan diroboh


Ravin Palanisamy

Presiden Malaysian Hindu Unity Association (MAHA) V Kandasamy pada sidang media di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Disember, 2020.

MENTERI Besar Muhammad Sanusi Md Nor digesa supaya memberi jaminan tiada lagi kuil Hindu akan dirobohkan di Kedah, sebaliknya dipindahkan jika perlu, kata gabungan terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) hari ini.

Gabungan NGO Hindu berkenaan turut menuntut permohonan maaf dari Sanusi atas isu perobohan kuil di negeri di bawah pentadbiran PAS itu.

“Kami menuntut MB Kedah mohon maaf kepada masyarakat Hindu kerana merobohkan kuil.

“Beliau juga perlu beri jaminan bahawa kuil akan dipindahkan ke tapak baharu yang dipersetujui oleh pihak pengurusan kuil dan pemimpin tempatan,” kata Presiden Pertubuhan Perpaduan dan Integrasi Hindu Malaysia (MAHA) V Kandasamy pada sidang media di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini. 

Sidang media tersebut disertai enam kumpulan Hindu.

Tiga minggu lalu, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, yang dikatakan berusia lebih 50 tahun, kerana dibina atas tanah kerajaan.

Ia merupakan kuil kedua dirobohkan di negeri itu dalam masa enam bulan. Julai lalu, Kuil Madura Veeran berusia 100 tahun berdekatan stesen kereta api di Alor Setar.

Sanusi teruk dikecam berkenaan isu perobohan kuil Hindu di Kedah. Beliau menyelar pengkritiknya terutama pemimpin MIC dan DAP, dan berkata mereka mengapi-apikan sentimen kaum dan agama untuk menjadi jaguh berkenaan perobohan itu.

Dalam pada itu, Kandasamy pada sidang media tadi mendesak Sanusi memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati masyarakat India dan Cina.

“MB Kedah mencetus ketegangan antara kaum dan agama. Oleh itu beliau perlu meminta maaf,” kata  Kandasamy.

Beliau juga berkata MAHA merayu kepada Sultan Kedah dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Sanusi supaya menjadi pengajaran kepada pemimpin lain agar tidak mengeluarkan kenyataan perkauman pada masa hadapan. – 21 Disember, 2020. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen