Putrajaya, PBT kerjasama kenal pasti kuil, gereja haram


Chan Kok Leong Hailey Chung Wee Kye

Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan antara kementerian dan PBT untuk kelan pasti kuil dan gereja yang dibina secara haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.

PUTRAJAYA akan menubuhkan jawatankuasa dengan penyertaan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti kuil dan gereja yang dibina secara haram, kata Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya sudah bercakap dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tentang penubuhan jawatankuasa di semua PBT untuk periksa rumah ibadat bukan Islam,” katanya ketika sesi soal jawab menteri.

“Jawatankuasa ini akan turut disertai oleh pegawai dari kementerian saya dan ia akan mengenal pasti besemua rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar dan tidak berdaftar.

“Ia juga akan melihat keperluan untuk tindakan susulan dan langkah undang-undang yang boleh diambil oleh PBT dan kerajaan negeri,” katanya.

Halimah menjawab soalan Cha Kee Chin (Rasah-PH) berkenaan status Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) dan Dasar Perpaduan Negara.

Minggu lalu, Majlis Perbandaran Alor Setar merobohkan kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

Susulan insiden itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor selepas dikritik teruk, menyelar pengkritiknya iaitu pemimpin MIC dan DAP sebagai “mabuk”.

Kedah ditadbir PAS susulan pengambilalihan kerajaan Perikatan Nasional pada Februari.

Sementara itu, Halimah memberitahu Parlimen Dasar Perpaduan Negara kini pada peringkat akhir.

“Ia akan ditukar kepada dokumen dan dikeluarkan tidak lama lagi. Pelan 2021-2025 itu akan ada indikator dan pelan tindakan.” – 8 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen