DR Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 pagi ini.
Dalam satu kenyataan, IJN berkata bekas perdana menteri itu akan terus menjalani proses pemulihan di rumah.
“Baru-baru ini Dr Mahathir dimasukkan dan menerima rawatan perubatan di IJN. Beliau kini akan teruskan proses pemulihan di rumah.”
“Dr Mahathir akan menjalani pemeriksaan susulan bagi meneruskan rawatan perubatannya apabila diperlukan dalam masa terdekat,” kata IJN.
Semalam, ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah pada siang hari dari IJN.
Seorang jurucakap berkata Dr Mahathir dibenarkan “cuti rumah” antara 8 pagi dan 4 petang.
Bagaimanapun Dr Mahathir berkata beliau masih belum pulih sepenuhnya daripada penyakit yang dihidapinya yang menyebabkan beliau dimasukkan ke IJN pada 20 Januari lepas.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah pulih, tidak sepenuhnya tetapi telah pulih untuk beberapa hari dan setiap hari saya balik rumah dari pagi sampai petang.
“Lepas itu saya akan balik ke hospital kerana masih ada prosedur yang mereka (pasukan kesihatan) ingin teruskan,” katanya melalui video pendek berdurasi 1:15 minit.
Dr Mahathir kelihatan lemah namun berjalan tanpa bantuan dalam video itu.
Kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya berkata, beliau dibenarkan pulang pada waktu siang mulai 2 Februari lepas.
Tambah kenyataan itu, Dr Mahathir masih menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lain.
Dr Mahathir dimasukkan ke IJN seminggu selepas beliau menjalani prosedur rawatan pilihan.
Prosedur itu dilakukan pada 8 Januari dan beliau dibenarkan keluar pada 13 Januari.
Negarawan itu mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular, mengalami tiga serangan jantung dan menjalani pembedahan empat kali. – 5 Februari, 2022.
Komen