Dr M semakin pulih, dibenarkan pulang waktu siang


Dr Mahathir Mohamad hari ini memaklumkan beliau sudah pulih tetapi tidak sepenuhnya dan perlu kembali ke Institut Jantung Negara pada waktu malam untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut. – Gambar Pejabat Dr Mahathir Mohamad, 4 Februari, 2022.

DR Mahathir Mohamad hari ini memaklumkan beliau telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah pada siang hari dari Institut Jantung Negara (IJN).

Bagaimanapun katanya, beliau masih belum pulih sepenuhnya daripada penyakit yang dihidapinya yang menyebabkan beliau dimasukkan ke IJN pada 20 Januari lepas.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah pulih, tidak sepenuhnya tetapi telah pulih untuk beberapa hari dan setiap hari saya balik rumah dari pagi sampai petang.

“Lepas itu saya akan balik ke hospital kerana masih ada prosedur yang mereka (pasukan kesihatan) ingin teruskan,” katanya melalui video pendek berdurasi 1:15 minit.

Ahli Parlimen Langkawi itu kelihatan lemah namun berjalan tanpa bantuan dalam video itu.

Kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya berkata, bekas perdana menteri itu dibenarkan pulang pada waktu siang mulai 2 Februari lepas.

Kenyataan itu menambah Dr Mahathir masih menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lain.

“Dr Mahathir akan terus menjalani pemulihan dan dinasihatkan supaya tidak menerima sebarang pelawat.

“Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga berterima kasih kepada setiap orang atas doa, ucapan selamat, bunga dan kad ucapan selamat,” jelas kenyataan itu.

Dr Mahathir yang berusia 96 tahun dipindahkan dari unit penjagaan koronari ke wad biasa pada 26 Januari.

Anak perempuannya Marina Mahathir kemudian berkata, beliau “ceria dan kelihatan mahu pulih sepenuhnya”.

Beliau dimasukkan ke hospital seminggu selepas menjalani pembedahan elektif.

Prosedur itu dilakukan pada 8 Januari dan dibenarkan keluar hospital pada 13 Januari.

Beliau mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular, mengalami tiga serangan jantung dan menjalani pembedahan empat kali. – 4 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen