Keluarga ‘berinteraksi’ dengan Dr M, kata Marina


Marina Mahathir menggesa semua pihak supaya tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan mengenai keadaan bekas perdana menteri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2022.

DR MAHATHIR Mohamad masih menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), dengan keluarga “berinteraksi” dengan beliau, kata anak perempuannya Marina Mahathir hari ini.

Marina juga menggesa semua pihak supaya tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan mengenai keadaan bekas perdana menteri itu.

“Dr Mahathir masih dirawat di IJN. Keluarga kami telah berinteraksi dengan beliau.

“Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keluarganya juga berterima kasih atas ucapan selamat dan doa yang dilakukan di dalam dan luar negara agar beliau cepat sembuh.

Marina menambah pihak IJN dan keluarga beliau akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa mengenai keadaan Dr Mahathir.

Spekulasi mengenai kesihatan ahli Parlimen Langkawi itu tular selepas beliau dimasukkan ke IJN pada Khamis atas sebab yang tidak diketahui.

Petugas media berkumpul di luar IJN sejak semalam untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai status kesihatan ahli politik itu.

Semalam Marina berkata, Dr Mahathir sedang dirawat berikutan prosedur elektif yang berjaya pada 8 Januari.

“Keadaan beliau kini stabil dan bertindak balas dengan baik kepada rawatan,” katanya.

Negarawan itu dimasukkan ke IJN pada 7 Januari dan dibenarkan keluar pada 13 Januari, selepas menjalani prosedur perubatan elektif.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melawat Dr Mahathir semalam. – 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen