Jangan sebar berita tidak rasmi berhubung kesihatan Dr M, kata Annuar  


Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2022.

ORANG ramai diminta tidak menyebarkan sebarang berita mengenai keadaan kesihatan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, melainkan ia berdasarkan sumber keluarga atau hospital secara rasmi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Beliau sebaliknya meminta orang ramai mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan rawatan Dr Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini agar negarawan itu segera sembuh.

“Hormati situasi keluarga Tun Dr Mahathir saat ini,” katanya dalam ciapan di laman Twitter hari ini.

Sejak semalam, pengamal media mula berkumpul di perkarangan IJN bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir.

Bagaimanapun anak ahli Parlimen Langkawi itu Marina memaklumkan keadaan bapanya kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Januari lepas.

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari dan beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut berkenaan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari. – Bernama, 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen