PASUKAN doktor pakar yang merawat Dr Mahathir Mohamad, 96, melaporkan beliau didapati semakin pulih dan dipindahkan keluar dari Unit Rawatan Koronari, kata anak perempuannya Marina Mahathir petang ini.
Bekas perdana menteri itu kini ditempatkan di bilik wad biasa, Institut Jantung Negara (IJN), tambahnya.
“Dr Mahathir ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya,” kata Marina, yang mengeluarkan kenyataan media hampir setiap hari sejak pemimpin itu dimasukkan ke wad pada 20 Januari lalu.
“Bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini.”
Ahli Parlimen Langkawi itu dimasukkan ke wad seminggu selepas menjalani pembedahan elektif.
Prosedur itu dilakukan pada 8 Januari, dan keluar wad pada 13 Januari.
Beliau mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular, mengalami tiga serangan jantung dan menjalani pembedahan pintasan jantung. – 26 Januari, 2022.
Komen