Agong jalani pemeriksaan kesihatan di IJN, kata Istana Negara


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimasukkan ke Institut Jantung Negara sejak semalam untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2022.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimasukkan ke Institut Jantung Negara sejak semalam untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan, maklum Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu dijangka mengambil masa beberapa hari.

“Kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

“Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam media melaporkan sebuah kenderaan dengan lambang Istana Negara kelihatan di depan ruang lobi IJN, mencetuskan spekulasi pihak Istana Negara menziarahi bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga berada di IJN.

Awal hari ini, media melaporkan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dilihat meninggalkan IJN lebih kurang 9.35 pagi.

Menurut Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menjalani pemeriksaan susulan berhubung rawatan intervensi ke atas sendi lutut dan buku lalinya akibat kecederaan bersukan, yang dibuat pada September 2020.

Rawatan susulan itu tertangguh kerana pelaksanaan prosedur operasi standard Covid-19 di hospital awam, termasuk IJN.

Sementara di IJN, baginda juga berkenan untuk menjalani pemeriksaan jantung, kata kenyataan itu.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” tambah Ahmad Fadil. – 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen