Jabatan hutan Kelantan nafi aktiviti pembalakan hampir lokasi habitat harimau


JABATAN Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menafikan imej kesan aktiviti pembalakan hutan dirakam dron yang tular semalam, berdekatan dengan lokasi habitat harimau atau perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang.

Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah berkata imej yang diambil menggunakan dron oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menampakkan seolah-olah jaraknya berdekatan, namun sebenarnya jarak itu adalah jauh antara 5 hingga 6km dari lokasi serangan.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak memanipulasikan imej tersebut kerana lokasi pembalakan bukan berdekatan dengan habitat harimau atau lokasi serangan binatang buas itu.

“Hasil semakan mendapati, lokasi kejadian serangan harimau iaitu Pos Bihai merupakan kawasan penempatan Orang Asli yang berada di luar Hutan Simpanan Kekal (HSK) Perias,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Taman Eko Rimba Bukit Bakar yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob di Machang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai dakwaan NGO yang merakam satu imej menggunakan dron untuk mengesan aktiviti pembalakan di kawasan habitat harimau yang terletak berdekatan dengan perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang.

Mengulas lanjut, Khalim berkata sebahagian besar Hutan Simpan Perias merupakan hutan pengeluaran dan terdapat beberapa kawasan pembangunan ladang hutan (bekas lesen) di sepanjang laluan ke Pos Bihai yang telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan (Hutan Tadahan Air) oleh kerajaan negeri pada 2019. – Bernama, 17 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen