Hutan simpan Gunung Tebu diceroboh pembalak, dakwa penduduk


Diyana Ibrahim

Hutan Simpan Kekal Gunung Tebu di Besut, Terengganu merupakan antara lokasi terkenal pendaki termasuk dari luar negara. – Gambar The Malaysian Insight, 26 November, 2021.

HUTAN Simpan Kekal Gunung Tebu di Besut, Terengganu, antara lokasi terkenal pendaki termasuk dari luar negara, kini diancam pencerobohan pembalak haram, dakwa penduduk.

Mereka mendakwa “beratus-ratus ekar” kawasan hutan simpanan kekal itu sudah ditebang oleh pembalak.

Penduduk Amir Arsad, 40, berkata keadaan itu sepatutnya tidak berlaku terutama dengan status Gunung Tebu itu sendiri sebagai hutan simpan kekal.

“Biarpun kita tahu kawasan hutan simpan kekal ada yang dibolehkan untuk ditebangkan tapi takkanlah sampai beratus-ratus ekar.

“Pembalakan memang berlaku sampai ke Gunung Tebu. Senang cerita, hutan ini depan nampak molek tapi belakang habis ditarah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Gunung Tebu setinggi 1,097 meter dari aras laut menjadi antara tumpuan pendaki kerana keunikan flora dan fauna dan keindahan landskapnya yang mengadap Laut China Selatan.

Gunung Tebu dikategori sebagai hutan dipterokarp bukit iaitu kawasan hutan yang berada di ketinggian 750 hingga 1,200 meter dari paras laut, dan merupakan kelas hutan yang terluas di Semenanjung Malaysia.

Ketepi penduduk

Amir yang juga juru pandu arah naik ke Gunung Tebu turut mendakwa pihak berkuasa perhutanan mengenepikan penduduk dalam sebarang keputusan pembangunan di kawasan berkenaan.

Antaranya, bayaran RM2 yang dikenakan oleh Jabatan Perhutanan kepada orang ramai untuk masuk ke Hutan Lipur Lata Belantan, pintu masuk ke Gunung Tebu, termasuk kepada penduduk setempat.

Penduduk kampung berdekatan juga tidak lagi dibenarkan berniaga di kawasan Lata Belantan tetapi hanya di luar pintu masuk sementara juru pandu arah mestilah diiktiraf oleh jabatan.

Jelas Amir, peraturan baharu itu menimbulkan kemarahan penduduk sehingga ada juga penduduk yang bertindak menebang balak.

“Yang pertama teroka Lata Belantan ini penduduk kampung. Kebanyakan juru pandu arah termasuk saya sendiri mewarisi pekerjaan ini daripada orang tua.

“Dasar ini tidak adil kepada penduduk sedangkan mereka lihat hutan ditarah besar-besaran.

“Jadi mereka fikir kalau syarikat yang besar-besar ini boleh menarah Gunung Tebu kenapa tidak mereka saja yang mengambil (balak) kerana penduduk kampunglah yang meneroka hutan ini dahulu,” katanya.

Penduduk mendakwa Hutan Simpan Kekal Gunung Tebu kini diancam pencerobohan pembalak haram. – Gambar The Malaysian Insight, 26 November, 2021.

Biarpun begitu Amir berkata kayu yang diambil oleh penduduk kampung sudah tentulah tidak sebanyak seperti syarikat pembalak yang masuk di gunung tersebut.

Amir mengaku arif dengan selok belok laluan Gunung Tebu kerana mengikut ayahnya meneroka kawasan itu sejak umurnya 12 tahun lagi.

Beliau mendakwa kawasan yang paling teruk terjejas ditarah pembalak haram ialah di laluan belakang Gunung Tebu.

“Kita boleh lihat kesan laluan pembalak haram kalau kita lalu Felda Selasih. Kesan tarahan begitu besar beratus ekar.

“Bagi saya kalau kesan yang besar begitu mesti melibatkan orang dalam juga… kalau orang kampung sekadar satu dua batang saja.

“Tapi yang pakai jentera mesin berat ini, kita lihat dekat belakang Gunung Tebu dah ‘terang’ dah,” katanya.

Jelas Amir lagi terdapat dua perkampungan dekat Gunung Tebu iaitu Kampung Kuala Kubang dan Felda Selasih.

“Disebabkan dekat kampung jadi penduduk boleh nampak laluan keluar masuk pembalak. Sekarang ini pun nampak orang sedang bawa keluar balak tapi dalam kawasan ‘level’ kuning (kawasan hutan simpan kekal).

“Kemudian kita tengok ada yang buka kebun durian dekat hutan lipur Lata Belantan tapi kenapa Jabatan Perhutanan tak ambil tahu.

“Kalau sekarang kita ukur (kesan pembalakan haram) memang masuk dalam hutan simpan, tapi masing- masing tutup mata,” dakwanya lagi.

Menurut Amir, isu itu juga pernah diajukan kepada pengarah perhutanan semasa pertemuan dengan penduduk kampung.

“Saya sendiri pernah bertanya kepada pengarah perhutanan kenapa kawasan kuning (status hutan simpan kekal) boleh diambil balak.

“Tapi pengarah tak dapat nak jawab, sampailah tukar pengarah baru ini.

“Bagi saya selagi Jabatan Perhutanan tidak pulihkan hubungan dengan penduduk kampung selagi itulah pembalak haram akan berleluasa,” katanya.

Kerajaan nafi

Isu pencerobohan kawasan Gunung Tebu juga dibangkitkan wakil rakyat Umno Sabri Mohd Noor di Dewan Undangan Negeri Terengganu minggu lepas.

Adun Langkap, yang mengajukan soalan kepada Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, bertanya adakah kerajaan negeri mahu menukar status hutan simpan kekal Gunung Tebu bagi meluluskan pembalakan di situ.

Ahmad Samsuri dalam jawapannya menafikan dakwaan itu.

“Kita memerlukan maklumat lanjut untuk membuat siasatan tetapi saya ingin menjelaskan terdapat 12 kategori hutan simpan kekal berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984.

“Kita  akan menilai sama ada hutan simpan kekal diwartakan dan berfungsi sebagai kawasan tadahan air terlibat atau telah dibatalkan bagi tujuan pembalakan,” katanya.

Sabri menjelaskan kepada The Malaysian Insight beliau membangkitkan perkara tersebut kerana bimbang Terengganu akan kehilangan khazanah yang berharga.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Roslan Rani turut menafikan terdapat sebarang usaha menukar status hutan simpan Gunung Tebu itu.

Jelasnya, pembalakan di kawasan hutan simpan kekal bagaimanapun sebenarnya masih dibolehkan mengikut kategori yang dibenarkan.

“Ada kawasan yang kita tidak benarkan untuk pembalakan,” katanya.

Bagaimanapun Rosli enggan mendedahkan perincian jumlah keluasan pembalakan di Gunung Tebu.

Beliau turut enggan menjawab sekiranya ada  permohonan untuk menambah kawasan  pembalakan yang dibenarkan di Gunung Tebu. – 26 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen