Aktivis alam sekitar kritik Sabah tarik balik larangan eksport balak


Raevathi Supramaniam

KEPUTUSAN Sabah menarik balik larangan eksport kayu balak yang dilaksanakan semasa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Warisan adalah satu kesilapan, kata aktivis alam sekitar.

Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman berkata apa yang sepatutnya Sabah lakukan ialah melindungi hutan negeri itu, bukan menerokanya.

“Begitu mengejutkan. Kami kecewa larangan tersebut ditarik balik. Kita seharusnya menjaga hutan, bukannya biarkan ia ditarah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Meskipun pembalakan antara salah satu cara untuk menjana hasil negeri, namun ada pilihan lain yang boleh dipertimbangkan, tambah Meenakshi.

“Kita tahu Sabah perlu jana pendapatan, tetapi mengeksport kayu balak adalah langkah ke belakang. Kami merayu kerajaan negeri supaya pertimbang semula keputusan ini. Minta kerjasama Putrajaya untuk lindungi hutan.

“Mohon dana antarabangsa bagi perlindungan dan biodiversiti hutan. Kerajaan Sabah sedang melakukan kesilapan,” ujarnya.

Meenakshi menambah, kejadian banjir lumpur bersama kayu balak yang melanda Karak di Pahang baru-baru ini harus dijadikan pengajaran kepada mana-mana kerajaan negeri yang membenarkan aktiviti pembalakan tanpa kawalan.

Hujan lebat berterusan selama dua hari sejak 17 Disember di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan juga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air hingga ke paras bumbung.

Susulan banjir besar dua minggu lalu, aktivis alam sekitar sekali lagi mengingatkan kerajaan agar memandang serius isu-isu membabitkan perubahan iklim.

“Kerajaan tidak belajar daripada pengalaman ini dan dibutakan oleh hasil balak, yang jelas tidak wajar dan salah.”

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil pula memberi amaran keputusan Sabah menarik balik larangan eksport balak tidak mustahil akan mengakibatkan lebih banyak krisis alam.

Kemungkinan itu ekoran peningkatan aktiviti pembalakan bagi memenuhi pasaran eksport, katanya. 

Shariffa Sabrina malah berkata keputusan itu mencerminkan kerajaan negeri tidak mempedulikan rakyat.

“Gunung Kinabalu akan bergegar lagi, tanah runtuh lagi di Kundasang. Nyawa rakyat seperti tiada nilai bagi mereka.

“Semuanya untuk eksport. Tiada negara yang sanggup lakukannya kecuali Malaysia, dan orang-orang tertentu yang mengaut keuntungan daripadanya,” kata Shariffa Sabrina kepada The Malaysian Insight.

Pada 21 Disember lalu, Ketua Konservator Hutan Sabah Frederick Kugan dalam satu surat pekeliling memaklumkan program Eksport Balak Terhad akan berkuatkuasa mulai 3 Januari 2022, sekaligus larangan eksport balak akan ditarik balik.

Ia ditarik balik lapan bulan selepas Ketua Menteri Hajiji Mohd Noor umum satu kajian menyeluruh akan dijalankan bagi memutuskan sama ada larangan eksport balak akan berubah pada masa hadapan.

Larangan eksport balak diumum pada Mei 2018 oleh ketua menteri Sabah ketika itu Mohd Shafie Apdal, bagi memastikan bekalan kayu balak mencukupi untuk perusahaan domestik.– 31 Disember, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen