Kerajaan digesa tubuh siasatan bebas isu banjir Bentong


Sisa kayu dan sampah yang hanyut dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Sri Telemong di Bentong. – Gambar Global Environment Centre, 28 Disember, 2021.

PUTRAJAYA perlu adakan siasatan bebas untuk menyiasat banjir besar, aliran lumpur dan balak berhampiran pekan Karak di Bentong minggu lepas yang mengorbankan sepuluh nyawa, kata 45 masyarakat sivil dan kumpulan alam sekitar hari ini.

Kerajaan harus mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan pembalakan dan penebangan hutan secara meluas yang akhirnya mengakibatkan kemusnahan rumah dan harta benda serta kehilangan nyawa di Bentong.

“Walaupun perubahan iklim menjadi faktor, siasatan segera termasuk menyemak kemungkinan isu sistemik yang lemah pada mekanisme infrastruktur dan sokongan sedia ada diperlukan.”

“Ini termasuk menyiasat pembalakan secara meluas dan penebangan hutan di cerun bukit termasuk kemungkinan kekurangan amaran banjir dan juga pemantauan yang dijalankan sepanjang masa,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Bentong yang terletak di bahagian barat Pahang, bersempadan dengan Selangor dan Negeri Sembilan, mempunyai bukit berhutan berketinggian antara 1,000 meter dan 2,000 meter.

Ia juga merupakan tadahan air beberapa sungai penting di Pahang Barat termasuk Sungai Telemong, Bentong dan Semantan.

Hutan ini juga merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (ESA), penting untuk pemuliharaan biodiversiti dan membentuk sebahagian daripada Zon Pemuliharaan Central Forest Spine (CFS).

Di sebalik sensitiviti kawasan itu, aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara besar-besaran untuk penanam durian dan ladang hutan telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tambah kumpulan itu.

Ia juga mengatakan bahawa pembersihan telah dilakukan di kawasan cerun tanpa langkah kawalan hakisan manakala pembalakan telah berlaku di ESA dan juga dalam komuniti, termasuk penempatan Orang Asli.

“Tubuhkan siasatan bebas mengenai banjir besar dan aliran lumpur. Kenal pasti punca dan cadangkan tindakan segera dan jangka sederhana untuk membaiki kerosakan dan mencegah sebarang kejadian daripada berulang

“Kenakan moratorium serta-merta ke atas sebarang kelulusan lanjut untuk penebangan hutan dan tanah bercerun di Bentong serta hentikan sebarang pembalakan atau operasi pembersihan tanah yang sedang dijalankan sementara menunggu hasil siasatan yang dicadangkan,” kata kumpulan itu.

Mereka turut menggesa tindakan diambil di peringkat kebangsaan bagi mewujudkan pelan tindakan pemuliharaan dan pemulihan tadahan hutan dan sungai yang berkesan serta menggesa Putrajaya untuk menggabungkan Pelan Adaptasi Perubahan Iklim yang dicadangkan.

Bentong mengalami banjir lumpur dan balak pada 18 dan 19 Disember yang mana sungai, jalan raya dan kampung ditenggelami lumpur dan serpihan kayu yang menghempap kediaman dan menyebabkan kerugian besar harta benda. Sepuluh orang turut terkorban.

Banjir lumpur itu berlaku pada masa yang sama beberapa bahagian di negara ini dilanda banjir termasuk di Selangor dan Kuala Lumpur, berikutan hujan lebat berlarutan selama hampir tiga hari. Bahagian lain di Pahang turut terjejas teruk.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan ke Bentong baru-baru ini berkata syarikat pembalakan harus bertanggungjawab ke atas peranan mereka dalam banjir.

“Kita juga melihat kesan pembalakan tidak terkawal di negeri ini. Selain kerajaan negeri, syarikat pembalakan di Pahang yang mengaut keuntungan daripada hasil balak perlu memberi bantuan kepada mereka yang terjejas,” katanya. – 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen