Mangsa banjir boleh tuntut jika sisa kayu dari perusahaan, kata jabatan hutan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Balak dan sisa kayu memenuhi kawasan tebing sungai di kawasan paling kritikal terjejas akibat banjir dua minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2021.

MANGSA dapat membuat tuntutan jika terbukti sisa kayu yang menyebabkan kerosakan dalam banjir besar baru-baru ini berpunca dari perusahaan, kata Jabatan Hutan Negeri Pahang (JPNP).

Pengarahnya Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata demikian ketika ditanya mengenai pihak yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas kayu hanyut berkenaan yang kini sedang dilupuskan.

“Pampasan boleh diminta dari pengusaha tanah jika terbukti (kayu berasal dari tanah yang diusahakan),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hizamri berkata tindakan mereka waktu ini untuk mengundang individu yang ingin menuntut hak ke atas sisa kayu berkenaan bagi tujuan pelupusan.

Beliau menjelaskan notis yang dikeluarkan jabatannya dan dipasang di jambatan Sungai Telemong di Bentong bagi menentukan tafsiran nilaian kayu terlebih dahulu sebelum pelupusan dibuat.

Notis itu menjemput pihak yang ingin menuntut hak keempunyaan ke atas sisa kayu tersebut untuk berbuat demikian sebelum atau pada 11 Januari 2022.

Notis sama mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984 turut dilekatkan di dua lokasi lain di negeri itu iaitu di Sungai Perdak dan Sungai Temeriak, katanya.

“Sekiranya ada tuntutan, penuntut perlu mengemukakan bukti pemilikan kayu tersebut kepada jabatan,” katanya.

Tambahnya jika tiada tuntutan dibuat, pihak berkuasa negeri akan mendapat hak pemilikan kayu tersebut untuk tujuan pelupusan, mengikut Seksyen 79 akta yang sama.

“Lepas itu sama ada lelong, tanam, bakar dan sebagainya. (Mengikut) prosedur dalam akta, ia perlu diberikan notis dahulu, walaupun kami tahu ini bukan kayu dari aktiviti pembalakan,” katanya.

Ditanya lanjut, Hizamri berkata jabatannya masih belum dapat memberikan anggaran awal mengenai nilai keseluruhan kayu hanyut berkenaan.

Balak dan sisa kayu itu dilihat memenuhi kawasan tebing sungai di kawasan paling kritikal di Pahang yang terjejas akibat banjir besar dua minggu lalu.

Hentaman kuat air, batu besar dan sisa kayu tersebut antara lain merosakkan rumah dan chalet percutian yang menyebabkan beberapa individu maut.

Ada di kalangan mangsa termasuk kanak-kanak ditemui di bawah lapisan lumpur tebal dan timbunan kayu, beberapa hari selepas air surut.

Kemunculan sebegitu banyak sisa kayu dan batang pokok bersaiz besar itu mengundang spekulasi bahawa ia berpunca dari kawasan pembalakan.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Hizamri semalam yang menyebut tiada pembalakan dikesan di sekitar kawasan yang kini dipenuhi timbunan sisa kayu.

Ia termasuk kawasan Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan serta tanah milik berhampiran Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong.

Ditanya lanjut mengenai nilai kayu-kayan dan jumlah yang dijangka dapat dikaut jabatan tersebut melalui pelupusan itu, Mohd Hizamri masih belum dapat memberi jangkaan.

“(Belum) ada maklumat lagi,” katanya yang menjelaskan notis awam yang kini dipasang di kawasan berhampiran Jambatan Sri Telemong di Pahang mengenai mengenai kayu hanyut di situ.

Tambahnya, longgokan besar kayu berkenaan juga perlu dibersihkan untuk mengelakkan berlaku banjir kali kedua. – 31 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen