Bukan semua mangsa banjir boleh tuntut insurans, kata persatuan


Noel Achariam

Kenderaan yang rosak teruk susulan banjir di Hulu Langat, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2021.

ADA berita buruk buat mangsa banjir kerana tidak semua polisi insurans menyediakan tuntutan untuk banjir dan kerosakan harta benda, termasuk kenderaan mereka.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memberitahu The Malaysian Insight tuntutan insurans bergantung kepada polisi khusus yang dibeli oleh pemilik rumah untuk perlindungan rumah mereka.

Ia juga satu pilihan yang berasingan bagi perlindungan kenderaan mereka.

“Banjir hanyalah perlindungan pilihan di bawah polisi kebakaran dan motor standard.

“Bagaimanapun, adalah perkara biasa bagi polisi ‘Pemilik Rumah dan Isi Rumah’ untuk memasukkan banjir sebagai sebahagian daripada perlindungan standard.

“Bagaimanapun, jika polisi itu polisi kebakaran, ada pilihan untuk melanjutkan polisi bagi menampung banjir serta pembayaran premium tambahan,” kata jurucakap persatuan itu.

Jurucakap itu berkata, perlindungan banjir secara automatik tidak termasuk dalam semua polisi dan menggesa mangsa untuk menyemak dengan ejen atau syarikat insurans mereka.

Beliau juga berkata, jumlah pampasan akan bergantung kepada kerugian yang dinilai.

Amaun yang perlu dibayar juga tertakluk kepada jumlah polisi yang diinsuranskan serta terma dan syarat.

“Bergantung kepada tahap kerosakan, syarikat insurans boleh melantik penyelaras kerugian bebas untuk membantu dalam tuntutan,” katanya.

Beribu-ribu rumah musnah dalam banjir yang melanda beberapa negeri berikutan hujan berterusan selama empat hari mulai 17 Disember.

Banyak kenderaan juga terkandas di dalam air.

Susulan banjir, PIAM dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menasihatkan mereka yang terjejas banjir supaya menghubungi ejen masing-masing bagi mendapatkan nasihat dan penjelasan lanjut jika mereka merancang untuk membuat tuntutan.

Kedua-dua PIAM dan MTA juga memberi jaminan kepada semua pemegang polisi yang terjejas akibat banjir bahawa mereka akan mempercepatkan proses tuntutan dan dengan memberikan pertimbangan khas berdasarkan kes demi kes.

“Jika polisi mereka meliputi banjir, mereka mesti memaklumkan ejen mereka dan memberikan maklumat terperinci termasuk dokumen sokongan berkaitan. Bergantung kepada keparahan kerugian, ejen boleh melantik penyelaras kerugian bebas untuk membantu mereka memfailkan tuntutan mereka,” kata persatuan itu.

Sementara itu, Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa syarikat insurans memudahkan pemilik kereta yang tidak mempunyai perlindungan banjir.

“Hanya mereka yang melanggan perlindungan pilihan boleh memfailkan tuntutan insurans. Pengguna yang tidak diinsuranskan perlu mengeluarkan wang mereka untuk menampung kos pembaikan.

“Bagaimanapun, Fomca berharap syarikat insurans akan mengambil berat terhadap pemilik kereta baharu dan meringankan kos pembaikan mereka, jika boleh. Pusat servis kereta juga harus mengeluarkan rebat untuk pemilik kenderaan yang terjejas,” ketua pegawai eksekutif Fomca Dr Saravanan Thambirajah dilaporkan sebagai berkata.

PIAM dan MTA juga menggesa pemegang polisi menyemak perlindungan mereka bagi memastikan harta mereka diinsuranskan terhadap banjir. – 25 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen