Jualan insurans melonjak ketika Covid-19, kata industri


Hailey Chung Wee Kye

Pandemik Covid-19 meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya perlindungan insurans hayat. – Gambar EPA, 12 November, 2020.

PANDEMIK Covid-19 memberi kesedaran kepada orang ramai tentang ketidaktentuan dalam hidup, menjadikan mereka melihat kembali apa yang paling utama dalam kehidupan ini, kata industri insurans.

Statistik menunjukkan rakyat Malaysia dilihat mulai mengambil perlindungan insurans sebagai perlindungan kewangan dan kesihatan untuk mereka dan keluarga untuk waktu yang tidak terduga.

Bagi separuh pertama 2020, “insurans hayat biasa” dilihat berkembang positif 1.9% (242,401 unit) bagi polisi baharu individu sementara polisi baharu berkumpulan merekodkan pertumbuhan 4.6% (11,027 unit), menurut laporan pencapaian indusri oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam).

Daripada respons itu, industri menaikkan liputan insurans untuk polisi hayat biasa sebanyak 21.4% bagi mencapai RM10.8 bilion.

“Pandemik Covid-19 meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya perlindungan insurans hayat.

“Peranan insurans hayat jadi lebih penting sebagai alat kewangan untuk mengurangkan ketidaktentuan dalam hidup,” kata Presiden Liam Loh Guat Lan.

Ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), berlaku lonjakan dalam jualan langsung untuk “insurans sementara”, “insurans penyakit kritikal” dan “insurans kesihatan dan perubatan”.

Ketua Pegawai Eksekutif MSIG Malaysia Chua Seck Guan berkata individu mencari perlindungan untuk Covid-19 bagi melengkapkan polisi insurans mereka.

“Kami juga menerima permohonan untuk perlindungan bagi penyakit berjangkit bagi polisi gangguan perniagaan.

“Bagi memenuhi permintaan semasa, penanggung insurans juga memperkenalkan produk baharu untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna.

“MSIG antara beberapa penanggung insurans am yang awal memberikan faedah kesulitan Covid-19 kepada beberapa produk kemalangan diri dan produk perniagaan PKS,” kata Chua.

Penanggung insurans dan takaful di Malaysia tetap memberikan kelonggaran kepada mangsa Covid-19 walaupun kebanyakannya mengecualikan perlindungan untuk penyakit berjangkit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

Polisi insurans diubahsuai sedikit untuk Covid-19

Liam turut melihat bahawa ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan dan mengalami pengurangan pendapatan yang banyak. Dalam keadaan itu, penanggung insurans memberi respons untuk membantu orang awam.

“Industri itu memberikan tempoh penangguhan 90 hari atau jaminan tidak luput untuk tiga bulan kepada pemegang polisi yang terjejas akibat pandemik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Liam Mark O’Dell.

“Sepanjang tempoh ini, syarikat insurans akan terus memberikan perlindungan insurans kepada pemegang polisi yang terjejas jika mereka tidak dapat membayar premium.

“Pemegang polisi terjejas perlu memohon kepada syarikat insurans bagi mendapatkan kelulusan sebelum mereka dapat manfaat daripada langkah bantuan penangguhan itu.”

Pemegang polisi yang layak untuk bantuan penangguhan itu termasuk pesakit Covid-19 dan individu dikenakan kuarantin wajib di rumah.

Ia juga meliputi PKS, pekerja sendiri dan individu yang hilang pendapatan.

Setakat ini, lebih sejuta pemegang polisi diberikan bantuan pelepasan penangguhan itu, dengan jumlah premium lebih RM1.6 bilion. Penangguhan itu masih dibuka hingga 31 Disember.

O’Dell berkata antara sokongan lain yang diberikan ialah termasuk membenarkan pemegang polisi menstruktur semula ciri polisi mereka seperti merendahkan jumlah insurans atau memendekkan tempoh polisi sementara, supaya pemegang polisi dapat terus mengekalkan perlindungan insurans.

Syarikat insurans hayat juga memberikan bantuan kewangan kepada keluarga yang dijangkiti Covid-19 termasuk wang tunai, elaun hospital dan pampasan kematian yang dilanjutkan hingga akhir tahun.

Walaupun kebanyakan polisi perubatan memberi pengecualian perlindungan kepada penyakit berjangkit, penanggung insurans dan takaful Malaysia tetap memberikan kelonggaran kepada mangsa Covid-19.

Dalam laporan pencapaian itu, industri insurans hayat mendaftarkan kejatuhan 12.6% dalam jumlah keseluruhan premium bagi separuh pertama 2020. – 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen