Industri insurans wujudkan dana khas RM8 juta


Ragananthini Vethasalam

Dana itu akan menampung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM30 kepada setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2020.

INDUSTRI insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas sebanyak RM8 juta bagi menampung kos saringan Covid-19 di fasiliti perubatan swasta bagi setiap pemegang polisi, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut beliau, ia bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian Covid-19.

Dana itu akan menampung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM30 kepada setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan untuk menjalani ujian berkenaan di hospital atau makmal swasta.

Selain itu, insurans dan takaful keluarga turut menawarkan penangguhan bayaran kepada pemegang polisi yang pendaoatannya terjejas akibat pandemik virus.

Skim insurans mySalam kepada orang miskin juga akan membantu golongan B40 sekiranya mereka dijangkiti atau dimasukkan ke hospital.

Pesakit juga boleh menuntut elaun RM50 sehari, sehingga 14 hari.

Kerajaan turut memutuskan faedah yang sama akan diperluas kepada mereka dari golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit dalam siasatan (PUI).– 27 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen