AHLI Parlimen Klang Charles Santiago hari ini menggesa Putrajaya menambah baik dasar perlindungan sosial negara supaya ia dapat meliputi kira-kira 16,000 pekerja tidak formal dalam ekonomi gig.
Beliau juga menggesa kerajaan mewajibkan majikan memberi perlindungan sosial yang sewajarnya.
Kerajaan katanya perlu menyertakan golongan pekerja ini ke dalam sistem perlindungan sosial negara berikutan semakin banyak angka kematian dan kecederaan serius membabitkan pekerja penghantaran yang meningkat semasa pandemik Covid-19.
Menurut Santiago, tinjauan badan kaji selidik The Centre pada tahun lalu ke atas 400 pekerja penghantaran dan e-hailing mendapati hampir 22% daripada mereka tidak memiliki sebarang bentuk perlindungan.
“Tidak kiralah sama ada insurans nyawa dan kesihatan, simpanan kecemasan atau atau simpanan persaraan,” kata Santiago dalam satu kenyataan.
Beliau mencadangkan pakej perlindungan sosial bagi golongan pekerja tidak formal ini perlu merangkumi “isu utama” seperti gaji minimum, perlindungan insurans serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Semua mesti diwajibkan. Dengan cara ini, pekerja tidak formal akan mendapat skim insurans pekerjaan, kemalangan dan kesihatan serta simpanan persaraan.” – 8 Januari, 2021.
Komen