Dana tak tanggung ujian Covid-19 bagi pembedahan, kata persatuan insurans


CTF akan menyalurkan pembayaran balik tunai tetap sehingga RM300 untuk kos ujian saringan Covid-19 bagi pemegang polisi insurans/ sijil takaful di hospital atau makmal swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

TABUNG Saringan Covid-19 (CTF) tidak mengambil kira ujian saringan bagi pembedahan atau kemasukan ke hospital, kata Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

CTF hanya digunakan untuk membiaya ujian saringan Covid-19 bagi pemegang polisi di makmal swasta yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM), dan bukan untuk tujuan lain.

“Tidak. CTF tidak termasuk ujian saringan Covid-19 untuk pembedahan atau kemasukan ke hospital,” menurut PIAM

Tabung bernilai RM8 juta itu diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu semasa pengumuman pakej rangsangan ekonomi Prihatin.

Ia bertujuan untuk menyokong usaha KKM dalam mengendalikan lebih banyak ujian saringan Covid-19 untuk rakyat Malaysia.

Penubuhan CTF diterajui Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yang menyumbang RM5 juta manakala PIAM dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) masing-masing menyumbang RM2 bilion dan RM1 bilion.

CTF akan menyalurkan pembayaran balik tunai tetap sehingga RM300 untuk kos ujian saringan Covid-19 bagi pemegang polisi insurans/ sijil takaful di hospital atau makmal swasta.

Pemegang polisi boleh membuat tuntutan sekiranya mereka dirujuk oleh doktor yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia untuk menjalani ujian saringan.

Bagaimanapun, masih tertakluk kepada syarat-syarat tertentu termasuk mengalami jangkitan pernafasan akut dengan demam atau tidak; atau pemegang polisi dianggap sebagai Orang yang Disiasat (PUI) seperti ditakrifkan oleh KKM.

Bagi pemegang polisi yang mempunyai sejarah perjalanan atau menetap di luar negara dalam masa 14 hari sebelum bermulanya sakit juga boleh membuat tuntutan.

Begitu juga bagi mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan kes sah Covid-19 dalam tempoh 14 hari sebelum bermulanya sakit atau menghadiri majlis umum yang dikaitkan dengan kes positif.

Petugas kesihatan yang terdedah tanpa alat perlindungan peribadi (PPE) yang lengkap, termasuk memberikan rawatan terus untuk pesakit Covid-19), bekerja dengan pekerja penjagaan kesihatan yang dijangkiti Covid-19, bekerja dengan pekerja penjagaan kesihatan yang dijangkiti Covid-19, melawat pesakit atau menetap bersama pesakit Covid-19 dikelaskan sebagai hubungan rapat. – 22 April, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen