Buli di sekolah tak ditangani dengan betul, kata aktivis


Ragananthini Vethasalam

Aktivis memberitahu The Malaysian Insight budaya membuli yang biasa dilakukan oleh pelajar senior terhadap pelajar junior dipandang ringan sejak sekian lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2021.

BULI di sekolah merupakan masalah lama yang tidak ditangani dengan betul, kata pihak berkepentingan selain menggesa penguatkuasaan lebih ketat dan tindakan disiplin tegas di institut pendidikan.

Mereka juga berkata undang-undang khusus untuk mengawal aktiviti buli juga perlu untuk menghentikan ancaman ini.

Aktivis memberitahu The Malaysian Insight budaya membuli yang biasa dilakukan oleh pelajar senior terhadap pelajar junior dipandang ringan sejak sekian lama.

Seruan untuk mengharamkan kegiatan buli semakin meningkat susulan kematian kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnanin yang diseksa sehingga meninggal dunia empat tahun lalu.

Baru-baru ini tular di media sosial video memaparkan sekumpulan enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar menumbuk dan menendang seorang pelajar lelaki lain.

Seramai 10 pelajar ditahan polis bagi membantu siasatan. Enam pelajar itu pula digantung persekolahan selama dua minggu.

Pengerusi Alliance for Safe Community Lee Lam Thye berkata buli sudah wujud sejak sekian lama dan menjadi kebimbangan masalah itu tidak ditangani dengan berkesan.

“Mungkin mereka (pihak berkuasa) tahu mengenainya tetapi tiada apa yang benar-benar dilakukan selain membuat kenyataan di media untuk mengambil tindakan tegas tetapi selepas beberapa ketika ia reda. Tiada penyelesaian untuk masalah itu.

“Pada masa itu kita akan sentiasa mendengar tentang buli di universiti. Mereka tidak memanggilnya buli, mereka menggunakan perkataan ragging.

“Ini sudah lama diterima dan tiada siapa yang mempersoalkannya. Tetapi mungkin bentuk ragging pada zaman itu tidak begitu agresif atau ganas,” katanya sambil menambah dalam beberapa kes serius mangsa telah kehilangan nyawa.

Mengulas video viral pelajar MRSM itu bekas ahli Parlimen itu berkata ia adalah satu bentuk buli melampu yang tidak boleh dibiarkan.

Beliau menggesa tindakan disiplin yang lebih tegas di sekolah berasrama penuh terhadap perbuatan buli.

Tambahnya pihak pentadbir sekolah tidak boleh mengambil mudah kejadian sebegitu atau menyembunyikan tindakan sedemikian untuk menjaga nama baik sekolah atau menafikan betapa beratnya perbuatan buli berkenaan.

Beliau berkata budaya keganasan tidak boleh dibenarkan atau dinormalisasi sambil menambah golongan muda juga mungkin terpengaruh dengan kandungan daripada filem dan media sosial.

Tambahnya pelajar bermasalah mesti dihantar ke kaunseling.

“Melainkan sudah tentu dalam kes yang melampau, di mana walaupun kaunseling tidak dapat mengubah sikap mereka, saya fikir mereka harus digantung. Saya fikir semakin lama mereka berada di sana, ia akan menjadi sangat sukar untuk dikendalikan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan (Magpie) Melaka Mak Chee Kin berkata pelajar dalam video itu perlu dihukum dan dibuang sekolah kerana ia adalah tindakan terancang untuk mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

“Pada saya jika pelajar sentiasa diingatkan bahawa tindakan sebegitu tidak akan dibiarkan, maka ia tidak akan berlaku.

“Ingat asa itu, kita pernah dibuli (di universiti) tetapi apabila ia diharamkan, tiada pelajar senior yang berani melakukannya.

“Pihak sekolah mesti menekankan perkara ini semasa perhimpunan mingguan atau ceramah kumpulan mereka. Adalah lebih baik untuk melibatkan kakitangan beruniform seperti polis untuk memberi ceramah mengenai buli dan kesan serta akibatnya,” katanya.

Katanya warden di sekolah berasrama penuh juga memainkan peranan penting.

“Mungkin kita juga perlu mendapatkan anggota beruniform seperti polis untuk membantu warden sekolah,” katanya lagi. – 13 Disember, 2021.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen