Pelajar tak perlukan telefon bimbit di sekolah, kata guru


Angie Tan

Rata-rata kumpulan guru berpendapat tidak ada keperluan untuk pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding kebaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2021.

MEMBENARKAN pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah boleh mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan, kata guru dalam tinjauan berterusan yang dibuat Kementerian Pendidikan.

Ia mungkin menggalakkan kecurian dan mencetuskan pergaduhan selain mengganggu tumpuan pelajar dalam sesi pembelajaran, beberapa guru memberitahu The Malaysian Insight.

Kementerian Pendidikan kini sedang menjalankan tinjauan sama ada pelajar dibenarkan atau tidak membawa telefon bimbit ke sekolah.

Tinjauan itu bermula pada 23 November dan akan berakhir pada 7 Disember.

Telefon bimbit kini diharamkan di sekolah tetapi terdapat cadangan ia harus dibenarkan terutamanya jika pelajar berdepan kecemasan.

Dan dengan Covid-19 yang kekal ada, terdapat juga pandangan membenarkan telefon dibawa ke sekolah akan memudahkan pelajar mendaftar masuk ke sekolah melalui aplikasi MySejahtera.

Presiden Kesatuan Sekolah Kebangsaan Lim Bee Khim berkata beliau tetap berfikiran terbuka terhadap cadangan itu.

“Ini boleh dilakukan dengan syarat terdapat garis panduan yang ketat seperti menyimpan telefon mereka di dalam laci semasa tidak digunakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lim lebih mengambil berat tentang isu liabiliti sekiranya telefon pelajar hilang.

“Ibu bapa mesti sedar tentang perkara ini; apakah yang berlaku sekiranya anak kehilangan telefon bimbit mahal semasa di sekolah?

“Siapa yang akan memikul tanggungjawab jika ini berlaku?,” soalnya.

Lim menambah membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah juga boleh menganggu tumpuan pelajar semasa sesi pembelajaran mereka. Mereka dengan mudah boleh bermain permainan atau melayari internet tanpa disedari oleh guru.

“Mereka juga mungkin menjadikan ia sebagai alasan untuk keluar dari kelas dengan menyembunyikannya di dalam tandas. Kanak-kanak zaman ini bijak dan akan mencari cara kreatif untuk menggunakan telefon mereka,” katanya.

Selain kebimbangan ini Lim merasakan telefon peribadi tidak diperlukan untuk pelajar di sekolah kerana waktu persekolahan kini lebih singkat di bawah SOP Covid-19.

Sekolah kerajaan tidak boleh dibandingkan dengan sekolah antarabangsa di mana pelajar mempunyai waktu yang lebih lama, katanya.

Pengetua SJKC Connaught 2 Chuah Soo Cheng berkata membawa telefon bimbit ke sekolah mempunyai kebaikan dan keburukan.

Satu kelebihan ialah pelajar boleh mendaftar masuk menggunakan MySejahtera, membolehkan guru mengetahui status kesihatan mereka dan sama ada mereka mempunyai ahli keluarga yang dijangkiti.

“Ketika ini kami hanya dimaklumkan oleh ahli keluarga pelajar jika terdapat jangkitan dan pelajar itu tidak akan hadir ke sekolah atas sebab itu,” katanya.

Tetapi Chuah bersetuju walaupun terdapat garis panduan ketat yang mengawal selia penggunaan telefon bimbit di sekolah, pelajar mungkin masih mencari cara untuk bermain permainan video, berbual atau menyemak media sosial.

“Jika mereka berbuat demikian semasa di dalam kelas, ia akan menjejaskan pelajaran mereka,” katanya.

Chuah, yang juga timbalan presiden Kesatuan Kebangsaan Ketua-Ketua Sekolah berkata internet adalah tempat yang terlalu mengujakan buat pelajar.

“Kami menyedari perkara ini apabila menjalankan pembelajaran di rumah di atas talian. Pelajar masuk ke kelas di Google Meet tetapi sempat melihat laman web lain pada masa yang sama.

“Ibu bapa meminta bantuan guru tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan.

“Sekarang pelajaran fizikal sudah disambung semula, sudah tiba masanya untuk meninggalkan internet di rumah dan memberi perhatian di sekolah,” katanya.

Sesetengah pelajar terpaksa diberi kaunseling kerana ketagihan internet apabila kembali ke pembelajaran fizikal di sekolah, tambah Chuah.

Pendidik lain yang membantah kebenaran membawa telefon bimbit di sekolah ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah Rendah Cina Chua Lay Koh.

Telefon tidak diperlukan ketika pelajar berada di dalam kelas fizikal, katanya.

“Telefon mudah alih atau peranti pintar diperlukan untuk kelas dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi sekarang pembelajaran secara fizikal sudah disambung semula, guru-guru berada di depan mereka, tidak ada keperluan untuk telefon bimbit,” katanya.

Kecemasan seperti kanak-kanak jatuh sakit juga bukan alasan yang cukup baik untuk pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, tambahnya.

“Guru dan pengetua akan segera menghubungi ibu bapa dalam apa jua keadaan,” katanya yang juga pengetua SJKC Kuo Kang 2. – 2 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen