6 pelajar dari kluster sekolah Cyberjaya dihantar ke Maeps


Enam pelajar Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Selangor di mana kluster Covid-19 dikesan dirujuk ke Pusat Kuarantin Berisiko Rendah Maeps di Serdang, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2021.

ENAM pelajar Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Selangor di mana kluster Covid-19 dikesan dirujuk ke Pusat Kuarantin Berisiko Rendah Maeps di Serdang, Selangor, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Sha’ari Ngadiman.

Dalam satu kenyataan hari ini Dr Sha’ari berkata selain enam pelajar itu seorang guru dikenal pasti sebagai kontak rapat kes indeks yang juga seorang guru.

Kedua-dua guru itu bagaimanapun sedang menjalani kuarantin di rumah. 

Sehingga 3 petang hari ini, 946 orang terdiri daripada 849 pelajar, 59 guru dan 38 kakitangan sudah disaring.

Daripada jumlah ini 139 diuji positif Covid-19. Mereka terdiri daripada 114 pelajar, 15 guru dan 10 kakitangan.

“Kes positif akan dirujuk ke Maeps manakala kontak rapat akan ditempatkan di pusat kuarantin kerajaan,” kata Sha’ari.

Kesemua 139 kes positif berada dalam keadaan stabil. Mereka berada dalam Kategori 1 (simptomatik ringan) dan Kategori 2A (gejala tetapi berisiko rendah).

Sha’ari berkata Jabatan Kesihatan Sepang dan pihak sekolah bekerjasama untuk mengendalikan kluster Persiaran Tasik.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin yang melawat sekolah berasrama penuh itu malam tadi berkata 65 pelajar itu berada di Tingkatan 1 dan 2. – 2 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen