SEORANG maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian tembakan di Kota Lama Baitulmaqdis, kata polis dan pegawai perubatan Israel, hari ini. Penyerang turut terbunuh dalam kejadian itu.
Mereka yang cedera termasuk dua orang awam dan dua pegawai polis.
Keempat-empat mangsa dikejarkan ke hospital namun seorang daripada mereka yang berusia 30 tahun meninggal dunia akibat cedera parah, kata sumber perubatan tanpa mendedahkan butiran lanjut.
“Seorang pengganas yang bersenjatakan senapang ‘submachine gun’ jenis Carlo melakukan tembakan di Kota Lama,” menurut polis dalam satu kenyataan
Menurut polis, penyerang terbabit berjaya ‘ditewaskan’ sambil mengesahkan kesemuanya telah terbunuh.
Kota Lama terletak di bahagian timur Baitulmaqdis yang dikuasai Israel. Rakyat Palestin mendakwa bandar itu sebagai ibu kota negara mereka pada masa depan.
Serangan yang menyasarkan pasukan keselamatan Israel adalah perkara biasa di Kota Lama.
Pada Rabu, pasukan keselamatan Israel menembak mati seorang penyerang remaja yang menikam dan mencederakan dua pegawai polis di bandar terbabit.
Pada hujung September, seorang wanita cuba menikam pegawai di jalan yang menghala ke masjid Al-Aqsa sebelum ditembak mati.
Israel menawan timur Baitulmaqdis dalam Perang Enam Hari pada 1967 dan kemudiannya menguasainya, satu langkah yang tidak diiktiraf kebanyakan masyarakat antarabangsa. – AFP, 21 November, 2021.
Komen