PBB wajib kutuk jenayah perang Israel di Baitulmaqdis, kata Iran


Warga Palestin melarikan diri dari polis Israel semasa tunjuk perasaan menyokong keluarga Palestin yang diusir dari rumah mereka di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis pada malam Jumaat lepas. – Gambar EPA, 8 Mei, 2021.

IRAN menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan kejam polis Israel diperkarangan Masjid Al-Aqsa di timur Baitulmaqdis, berkata ia adalah “jenayah perang.”

Pada malam Jumaat, lebih 205 orang cedera diserang polis Israel di tempat ketiga paling suci dalam Islam, ketika bila mana serangan keji dan ganas penguatkuasa menggunakan bom tangan dan peluru getah hanya dibalas dengan batu, botol dan bunga api oleh orang ramai.

Iran “mengecam serangan ke atas masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim penjajah Quds (nama lain untuk Baitulmaqdis),” kata jurucakap kementerian luar, Saeed Khatibzadeh dalam satu kenyataan.

“Jenayah perang ini sekali lagi membuktikan kepada dunia sifat rejim Zionis yang haram,” katanya.

Iran “menyeru PBB dan institusi antarabangsa berkaitan untuk bertindak menangani jenayah perang ini.”

Ketegangan di Baitulmaqdis meningkat sejak beberapa minggu ini dengan ribuan warga Palestin berhimpun bagi membantah pengusiran dari tanah yang dituntut penduduk Yahudi.

Keadaan huru-hara dilaporkan tercetus apabila polis Israel yang dilengkapi peralatan antirusuhan bertindak sewaktu penganut Islam menunaikan solat terawih di Masjid Al-Aqsa.

Pada Jumaat, PBB memohon Israel menamatkan pengusiran paksa di Baitulmaqdis itu, memperingatkan tindakan negara Yahudi itu boleh dianggap sebagai “jenayah perang.”

Pergolakan pada Jumaat itu berlaku pada ulang tahun Hari Perpaduan Baitulmaqdis dengan rakyat Palestin diperhati rapat oleh Iran dan sekutunya di rantau itu.

Dalam ucaptama, pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khomenei menyebut Israel “bukan sebuah negara, tetapi sebuah pangkalan pengganas” dan menekankan “memerangi rejim yang tercela ini… adalah tugas semua orang.”

Sokongan untuk perjuangan Palestin menjadi dasar luar utama Iran sejak revolusi Islam 1979, dan kerana itu Iran dan sekutunya dianggap Israel sebagai musuh terbesar negara Yahudi itu.

Israel merampas Baitulmaqdis semasa Perang Enam Hari 1967. Panjajahan itu tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa. – AFP, 8 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen